|
HAMILTON mengakui perlumbaan pada GP Azerbaijan di Litar Baku City merupakan paling sukar buat dirinya sehingga belakangnya mengalami kecederaan. – AFP
BAKU – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton mengakui, dia tidak akan terlepas untuk bersaing pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Kanada hujung minggu ini.
Pemandu kelahiran Britain tersebut dilaporkan mengalami sakit belakang teruk berikutan cedera akibat gegaran kuat ketika memacu jentera Mercedes pada GP Azerbaijan Ahad lalu.
Juara dunia F1 tujuh kali itu menyifatkan GP Azerbaijan adalah perlumbaan paling sukar dalam kariernya, sekali gus sekadar menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan dengan Max Verstappen menjuarai saingan tersebut.
“Perlumbaan di Azerbaijan adalah paling sukar dan semalam saya mengalami kesukaran untuk tidur, namun saya bangkit dengan perasaan positif hari ini.
“Itu adalah perlumbaan paling menyakitkan dan paling sukar saya pernah alami. Belakang saya sakit dan ada kesan lebam, tetapi bukan kecederaan serius. Syukur segalanya baik meskipun terpaksa berdepan tugas sukar di sana.
“Apa pun, kami perlu terus berjuang dan saya akan berada di Kanada minggu ini. Saya tidak akan terlepas untuk beraksi pada perlumbaan tersebut,” ujarnya.
Hasil keputusan tersebut, Hamilton kini menduduki tangga keenam keseluruhan dengan 62 mata, manakala Verstappen yang mewakili Red Bull kekal di tangga teratas dengan lima kemenangan setakat ini. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2022/06 ... ksi-pada-gp-kanada/
|
|