|
Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 akan diteruskan di di Litar Permotoran Terengganu dari 24 hingga 25 Jun ini untuk saingan Pusingan 4. - Foto ihsan FB Malaysia Cub Prix
KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 bakal menyaksikan kembalinya persaingan di litar sementara selepas lebih dua tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik COVID-19.
Dua pusingan diputuskan promoter, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) untuk diadakan di Dataran Seri Jempol dari 16 hingga 17 Julai ini bagi saingan Pusingan 5 manakala Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pula bakal menjadi tuan rumah Pusingan 10 dari 3 hingga 4 Disember.
Venue ini pastinya mengembalikan keunikan tersendiri kejuaraan sekali gus mendekatkan peminat kepada arena sukan permotoran dua roda selain perlumbaan yang berlangsung di litar tetap.
"Keunikkan Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia lahir daripada aksi perlumbaan di litar sementara seperti yang menjadi tradisi perlumbaan Cub Prix," kata Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg.
"Misi kami sejak bermulanya penganjuran kejuaraan ini adalah untuk membawa kemeriahan aksi pelumba nasional kita kepada masyarakat setempat selain hanya dapat menyaksikan perlumbaan ini di kaca televisyen ataupun dari jarak jauh seperti di litar tetap."
Ron dalam pada itu berkata, penggunaan litar tetap seperti di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Tangkak, Johor tetap akan menjadi keutamaan bagai menaikkan lagi taraf sukan permotoran dua roda negara.
"Kami berharap akan lebih banyak fasiliti, infrastruktur sukan permotoran dan litar akan dibina dalam negara ini. Bagi pihak Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam perlumbaan nasional ini.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penaja kejuaraan serta semua pasukan, pelumba, agensi kerajaan serta masyarakat tempatan yang terus menyokong kami dalam merealisasikan misi dan matlamat kami."
Kalendar musim 2022 yang membuka tirainya di Litar SIC pada Mac lalu merangkumi 10 pusingan dengan perlumbaan terdekat adalah di Litar Permotoran Terengganu dari 24 hingga 25 Jun ini untuk saingan Pusingan 4.
https://www.bharian.com.my/sukan ... ara-selepas-2-tahun |
|