View: 757|Reply: 0
|
Viktor Axelsen buru hatrik Terbuka Malaysia
[Copy link]
|
|
AXELSEN mengakui penat selepas menyertai dua kejohanan berturut-turut, namun sudah bersedia untuk bersaing pada Petronas Terbuka Malaysia minggu depan.
Viktor Axelsen buru hatrik Terbuka Malaysia
PEMAIN No.1 dunia, Viktor Axelsen menggalas misi besar menjelang Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil bermula 28 Jun hingga 3 Julai depan.
Selepas memenangi dua gelaran pada Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia minggu lalu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu mula mengintai kejuaraan hatrik pada Petronas Terbuka Malaysia.
Bagaimanapun, Axelsen menjelaskan, dia mahu memastikan kecergasan pulih seperti biasa memandangkan badan masih penat selepas beraksi hingga ke perlawanan akhir dalam dua kejohanan berturut-turut.
“Secara jujur, badan saya masih penat selepas beraksi dalam dua kejohanan berturut-turut. Sekarang saya ada masa lebih kurang seminggu untuk rehat dan bersedia sebelum Petronas Terbuka Malaysia membuka tirai.
“Saya hanya mahu lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan tidak mahu fikir terlalu jauh hingga ke perlawanan akhir. Apa yang penting dalam setiap kejohanan adalah fokus satu demi satu perlawanan,” katanya ketika ditemui di Petronas Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Mengulas mengenai perseteruan dengan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, pemain Denmark itu gembira kerana memiliki ramai pencabar yang mampu menjadi pembakar semangat buatnya.
“Ada ramai pemain bagus ketika ini termasuk Lee Zii Jia yang boleh kalahkan sesiapa sahaja. Saya rasa ia satu perkara yang baik kerana kami saling memaksa antara satu sama lain untuk menjadi pemain terbaik,” ujar Axelsen.
Pada masa sama, dia juga mengakui tidak kisah untuk berlatih dengan sesiapa sahaja selepas menjadikan ABM sebagai venue pilihan bagi menjalani latihan menjelang Terbuka Malaysia nanti.
“Saya sentiasa terbuka untuk berlatih dengan sesiapa sahaja kerana tidak ada benda yang mahu dirahsiakan. Ketika di Dubai pun, saya sentiasa berlatih dengan pemain-pemain lain dan kami saling membantu,” ujarnya.
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/06 ... k-terbuka-malaysia/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|