|
MD. HARITH bernasib malang apabila enjin jenteranya meletup ketika sesi shootout dan menduduki tempat kelapan selepas perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus tamat kelmarin. – PUQTRA HAIRRY
PASUKAN Tobaki Pink Racing menjanjikan kebangkitan selepas dua pelumba sandaran kategori CP125 tidak bernasib baik dalam pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus kelmarin.
Prinsipal pasukan, Nur Atikah Azwar berkata, masalah jentera menjadi faktor Md. Harith Farhan Baharin tiba di garisan penamat di tempat kelapan, manakala Saiful Azhary Muhamad pula gagal menamatkan perlumbaan.
“Kami agak terkejut apabila enjin jentera Md. Harith tiba-tiba meletup ketika sesi ‘shootout’ di sebelah pagi, manakala jentera Saiful pula mengalami masalah elektronik pada awal perlumbaan.
“Bagi pusingan berikutnya di Jempol, Negeri Sembilan, barisan pelumba sudah berazam menebus kehampaan dan memburu kedudukan podium,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Sementara itu, Harith Farhan mengakui kurang bernasib baik apabila mengalami masalah jentera walaupun beraksi cemerlang di pusingan kelayakan pada Jumaat lalu.
Jelasnya, dia cuba memberikan aksi terbaik setelah bermula dari petak ke-10 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan dengan catatan masa 13 minit 19.749 saat (s).
“Dari posisi ke-10 saya tercicir sehingga ke kelompok pelumba di belakang dan dengan enjin yang tidak pernah digunakan, saya berusaha mendapatkan rentak.
“Sudah tentu saya mahu bangkit untuk aksi di Jempol pada 16 dan 17 Julai depan selain berdoa masalah jentera tidak berulang lagi,” katanya.
https://www.kosmo.com.my/2022/06 ... am-tebus-kehampaan/ |
|