|
DANNY (kiri) berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan biarpun memulakan perlumbaan di petak ke-13 semalam.
PELUMBA pasukan Tobaki Pink Racing, Danny Mikhail Khairul Fauzi terus mempamerkan peningkatan terbaik pada tahun pertamanya dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia selepas menamatkan saingan tempat ke sembilan di Jempol, Negeri Sembilan semalam.
Meskipun memulakan saingan di petak ke-13 ia tidak mematahkan semangat pelumba berusia 16 tahun tersebut untuk terus mengejar pelumba di hadapannya sekali gus mengutip tujuh mata pada perlumbaan pusingan kelima kategori Wira KBS tersebut.
Selepas lima pusingan perlumbaan, pelumba kelahiran Kuala Lumpur tersebut kini mengutip 16 mata dan hanya dua kali gagal menamatkan saingan apabila jenteranya berdepan kerosakan sewaktu bersaing di Terengganu pada Jun lalu.
Justeru, Danny mengakui dia mampu memberi tentangan untuk berada di podium, tetapi dengan syarat perlu menempah kedudukan kelompok hadapan pada sesi kelayakan.
“Saya berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana pada perlumbaan di Terengganu tempoh hari saya gagal menamatkan saingan gara-gara kerosakan jentera.
“Tetapi, kali ini segalanya berjalan dengan baik dan saya gembira kerana berjaya mengutip tujuh mata di sini. Ini adalah keputusan terbaik buat saya selepas lima pusingan perlumbaan,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Seorang lagi pelumba Pink Racing, Nur Dini Uzma Abdullah menamatkan saingan tempat ke-14 sekali gus kekal mengutip mata pada setiap perlumbaan.
Dini yang turut membuat penampilan pertama dalam kategori Wira KBS itu kini menduduki tangga ke-17 keseluruhan dengan mengumpul 13 mata.
Sementara itu, pelumba Petronas Sprinta Racing Yamaha-31 Racing, Danish Aiman Zamrul menjulang kemenangan di Jempol sekali gus mendominasi carta kedudukan keseluruhan dengan 106 mata.
https://www.kosmo.com.my/2022/07 ... x-buat-pink-racing/ |
|