|
Cadangan memperkenalkan cuti sakit haid masih dikaji Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Timbalan menterinya, Siti Zailah Yusof berkata, kajian tersebut melibatkan 57,000 responden itu dijangka siap pada Oktober ini.
The Star
“Kajian sedang dibuat dan akan siap pada Oktober tahun ini. Selepas siap, ia akan dibentangkan kepada kerajaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Charles Santiago (PH-Klang) meminta Zailah menyatakan adakah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Dalam pada itu, Zailah turut berkata, pengenalan cuti haid memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan sebelum dipertimbangkan untuk dilaksanakan.
Katanya, ini kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan wanita, tetapi, memberi implikasi dan produktiviti ekonomi negara.
Gambar hiasan
“Buat masa ini terdapat kemudahan cuti sakit yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta dan awam,” katanya.
Menjadikan Jepun dan Indonesia sebagai contoh, Santiago menggesa penggubalan dan penguatkuasaan segera dasar yang menghendaki majikan membenarkan wanita bercuti sakit haid, jika mereka memerlukannya.
Sumber: UTUSAN ONLINE |
|