View: 430|Reply: 0
|
[Tempatan]
Terpaksa 'menyamar' guna minyak botol, peniaga kecil rayu guna minyak subsidi
[Copy link]
|
|
Terpaksa 'menyamar' guna minyak botol, peniaga kecil rayu guna minyak subsidi
https://www.malaysiakini.com/news/629216
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Jul 22, 2022 10:00 AM⋅
Dikemaskini: 10:37 AM
Rata-rata golongan peniaga kecil yang mengusahakan jualan makanan seperti kuih-muih mengakui terkesan dengan larangan penggunaan minyak masak paket satu kilogram (kg) bersubsidi.
Ini kerana mereka terpaksa menanggung kos modal yang tinggi bagi membeli minyak masak botol yang kini mencecah lebih RM40 bagi setiap lima kilogram.
Tinjauan di sekitar Kota Bharu, Kelantan, mendapati terdapat juga peniaga kecil yang bertindak membeli minyak paket dan menyalin semula ke dalam botol kerana bimbang diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Justeru mereka merayu supaya kerajaan menambah jumlah edaran minyak masak bersubsidi di pasaran selain memberi kebenaran agar golongan peniaga kecil boleh menggunakan minyak masak tersebut.
Peniaga chakueh yang mahu dikenali sebagai Bob, 30an, berkata dia terpaksa menggunakan minyak masak subsidi bagi mengurangkan kos modal berbanding menggunakan minyak masak berbotol.
"Kalau guna minyak botol memang tak boleh berniagalah, modal jadi sangat tinggi. Lagi pun harga barang mentah lain pun naik harga, memang tak mampu kalau guna minyak botol.
"Saya terpaksa beli minyak paket dan bubuh semula dalam botol. Bukan kita nak menipu tetapi tersepit. Jualan sehari pun sekadar cukup makan, bukan untung besar.
"Saya sangat berharap jika kerajaan boleh benarkan peniaga kecil seperti saya ini guna minyak masak subsidi," katanya ketika ditemui Malaysiakini, di Kota Bharu, semalam.
Terdahulu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk membantu mereka yang paling memerlukan adalah perkara yang rumit.
Sebagai contoh, katanya, walaupun penggunaan minyak bersubsidi tidak dibenarkan untuk tujuan komersil, ada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa menggunakannya untuk mencari rezeki.
"Mak cik jual goreng pisang, mereka tak boleh guna minyak masak (bersubsidi) untuk jual goreng pisang, itu salah.
"Sebab minyak masak paket ini tidak boleh untuk komersial. Tapi adakah penguat kuasa nak saman makcik ni atau rampas minyak masak?
"Nanti dituduh kita zalim pula terhadap rakyat miskin yang nak jual, kais pagi makan pagi. Bukan mudah seperti ABC," katanya di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
Sementara itu, bagi peniaga pisang goreng Asrul Afendi Ismail, 47, dia terpaksa mengeluarkan modal yang lebih besar susulan kenaikan harga barangan keperluan itu.
Jelasnya, keadaan itu sebenarnya terlalu membebankan berbanding hasil berniaga yang tidak sepadan dengan kos modal dikeluarkan.
"Sehari saya perlukan sekitar lima kilogram minyak masak untuk keperluan menggoreng pisang dan keropok lekor.
"Jika dibandingkan keadaan sebelum kenaikan harga minyak dengan sekarang sangat jauh berbeza. Kini untung diperolehi semakin sedikit kerana kenaikan harga bahan mentah dan minyak masak botol.
"Jika keadaan ini berterusan, kemungkinan saya terpaksa gantung kuali dan melakukan pekerjaan lain," katanya yang menjalankan perniagaan itu sejak enam tahun lalu ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.
Seorang lagi peniaga pisang goreng yang mahu dikenali sebagai Mat, 50an, berkata dia tidak mampu untuk menampung kos modal sekiranya menggunakan minyak masak botol.
Katanya, setiap hari minyak masak yang digunakan sebanyak 15 kilogram dengan kos hampir RM150 sekiranya menggunakan minyak botol.
"Jadi memang tak mampulah, saya terpaksa guna minyak masak paket. Itupun jika ada bekalan di pasaran.
"Saya sedar kerajaan tak benar, tetapi terpaksa. Jika tidak berapa sangat keuntungan hasil jualan boleh dapat. Kebanyakan bahan mentah naik harga termasuk tepung.
"Peniaga seperti kami ini bukannya buat untung besar macam kedai-kedai makanan segera terkenal," katanya.
Justeru dia turut merayu supaya kerajaan berkompromi dan memberi kelonggaran agar peniaga kecil diberi kebenaran menggunakan minyak bersubsidi.
"Mungkin kerajaan boleh fikirkan dengan kaedah-kaedah tertentu misalnya dengan menggunakan permit khas kepada peniaga kecil," katanya
Sementara itu, seorang peniaga burger rangup dikenali sebagai Amin, berkata, produk yang dihasilkannya juga perlu menggunakan kuantiti minyak masak yang banyak.
Justeru katanya, dia terpaksa menggunakan minyak masak subsidi kerana tidak mampu menampung kos minyak botol.
"Sebab untuk menghasilkan isian burger iaitu daging ayam rangup, ia perlu digoreng dengan kuantiti minyak yang banyak.
"Kalau guna minyak botol memang tak mampu nak tampung kos selepas kenaikan harga, jadi saya kena guna minyak paket juga, kecuali jika bekalan tiada.
"Sejak kebelakangan ini pun agak susah nak dapat stok minyak masak paket," jelasnya yang menjalankan perniagaan itu sejak setahun lalu.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|