SYDNEY: Pelombong di Angola menemui sebutir berlian warna merah jambu yang dipercayai terbesar dalam tempoh 300 tahun lalu, umum pemilik lombong itu yang berpangkalan di Australia.
Batu permata yang jarang dijumpai berukuran 170 karat itu, digelar Lulo Rose, ditemui di lombong Lulo di wilayah timur laut yang kaya dengan berlian di Angola.
Menurut syarikat perlombongan, Lucapa Diamond, dalam satu kenyataan kepada pelabur, ia adalah antara berlian merah jambu terbesar pernah ditemui.
Penemuan 'bersejarah' berlian Jenis IIa adalah antara batu semula jadi yang amat jarang ditemui dalam bentuk paling sempurna, yang turut diraikan kerajaan Angola selaku rakan kongsi dalam lombong berkenaan.
Menteri Sumber Mineral Angola, Diamantino Azevedo, berkata penemuan batu permata yang memecah rekod dan menakjubkan dari lombong di Lulo mengukuhkan kedudukan Angola sebagai pemain utama pasaran batu permata global.
Berlian berkenaan akan dijual menerusi tender antarabangsa dan dijangka mencatat harga yang luar biasa tinggi.
Walaupun Lulo Rose perlu dipotong dan digilap bagi mencapai potensi sebenar, suatu proses di mana ia mungkin kehilangan 50 peratus berat asal, berlian merah jambu seumpamanya sebelum ini berjaya mencatat harga memecahkan rekod.
pada 2017, Berlian Pink Star berukuran 59.6 karat dijual dalam lelongan di Hong Kong pada harga AS$71.2 juta (RM318 juta) dan kekal sehingga hari ini sebagai yang paling mahal pernah dijual. - AFP