|
Amaran 15 minit sebelum serangan
MISIL dari sistem pertahanan udara Israel, Iron Dome dilancarkan dari bandar selatan Israel, Sderot. FOTO AFP
Gaza: Ketika kempen Israel menentang pejuang Jihad Islam Palestin di Semenanjung Gaza memasuki hari kedua semalam, penduduk rumah yang disasarkan untuk dimusnahkan berkata, mereka diberi amaran 15 minit untuk berpindah.
"Apa yang boleh kita lakukan dengan 15 minit?" kata Nadia Shamalakh, 68, yang menjaga empat anak lelaki dan perempuan kurang upaya di Gaza.
"Kami tidak membawa apa-apa bersama," katanya.
Tentera Israel mendakwa, beberapa rumah yang dijadikan sama ada depoh senjata Jihad Islam atau pusat arahan dan kawalan untuk kumpulan itu diserang, pada Sabtu.
Tentera rejim itu mendakwa, penghuni kediaman diberi amaran sebelum rumah itu dibom.
Ditanya sama ada penduduk diberi amaran selama 15 minit, ia tidak memberi sebarang komen segera.
Nadia berkata, rumah satu tingkatnya musnah apabila serangan udara melanda sebuah bangunan bersebelahan milik seorang saudara.
Saudaranya sebelum itu diberi amaran untuk mengosongkan rumah dan menyuruh jiran mereka melakukan perkara yang sama.
"Saya rebah sebanyak tiga kali kerana menjalani pembedahan di kaki, manakala yang lain membantu anak-anak saya di kerusi roda untuk bergerak," kata Nadia, sambil duduk di celah runtuhan di tapak bekas rumahnya.
Serangan berterusan sepanjang Sabtu meninggalkan asap dan awan debu dari bangunan yang musnah merentasi langit Gaza.
Jihad Islam melepaskan tembakan roket ke Israel sebagai tindak balas.
Menurut pegawai kesihatan tempatan, pesawat Israel mengebom sekurang-kurangnya lapan rumah di seluruh Gaza.
Pegawai Israel mendakwa kedua-dua kumpulan, pejuang Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza dan kumpulan lebih kecil, Jihad Islam, menyembunyikan senjata di kawasan kediaman, menggunakan orang awam sebagai perlindungan untuk menghalang serangan.
Seorang pegawai Jihad Islam menolak dakwaan itu sebagai "percubaan zionis untuk membenarkan jenayah mereka terhadap orang awam."
Sumber:https://www.hmetro.com.my/global ... it-sebelum-serangan
|
|