|
Kerajaan India lancar vaksin penyakit LSD bagi lembu
Gambar fail menunjukkan lembu dijangkiti penyakit lumpy skin disease (LSD) atau penyakit kulit berketul yang dikuarantin. - Foto Ihsan MAQIS
NEW DELHI: India melancarkan vaksin buatan tempatan semalam untuk mengawal penularan penyakit lumpy skin disease (LSD) atau penyakit kulit berketul yang menyerang lembu ternakan.
Vaksin Lumpi-ProVac Ind yang dibangunkan dua institut penyelidikan pertanian India, Majlis Penyelidikan Pertanian India (ICAR) itu dilancarkan oleh Menteri Pertanian India, Narendra Singh Tomar.
Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani memaklumkan, pelancaran vaksin itu memberi penyelesaian kepada wabak yang mengancam ternakan di negara itu.
Vaksin itu dilancarkan ketika kebanyakan negeri di India bergelut mengekang penularan LSD dalam kalangan haiwan ternakan..
Menurut kementerian itu, institut penyelidikan berkenaan mula membangunkan vaksin terbabit sejak penyakit itu mula dikesan di India pada 2019.
"Saintis menyahut cabaran ini dan menjalankan ujian terhad dalam jangka pendek, serta membangunkan vaksin yang 100 peratus mematuhi semua piawaian labi berkesan bagi membasmi LSD," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Tomar mengarahkan pegawainya untuk menyediakan vaksin terbabit dalam jumlah yang banyak secepat mungkin untuk diberikan kepada lembu.
Berdasarkan angka rasmi, terdapat sejumlah 300 juta haiwan ternakan itu di seluruh India.
LSD adalah penyakit berjangkit yang tersebar menerusi serangga yang menghisap darah seperti beberapa jenis lalat, nyamuk atau kutu, selain melalui makanan serta air yang tercemar.
Penyakit itu menyebabkan demam akut, cecair keluar daripada mata dan hidung, air liur meleleh, kesan seperti luka di seluruh badan serta kesukaran untuk makan bagi lembu.
Menurut beberapa laporan, penyakit itu kini merebak ke Punjab, Himachal Pradesh, Uttarakhand dan Andaman serta Nicobar. - AGENSI
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... akit-lsd-bagi-lembu
|
|