Seorang wanita ditahan cuba menjual anak lelakinya berusia tujuh tahun dengan harga £4,000 (RM21,730), lapor Daily Star.
Nargiza, 36, didakwa mengiklankan anaknya dalam usaha untuk membayar hutang terkumpul dan mengatur pertemuan dengan "pembeli" di sebuah pusat beli-belah.
Foto: Alternativa movement
Ibu kepada tiga cahaya mata itu turut ditahan di bawah undang-undang pemerdagangan kanak-kanak Rusia selepas sukarelawan dari badan amal anti-perhambaan berjaya memerangkapnya, baru-baru ini.
Ahli Alternativa menyamar sebagai pembeli dan pergi menemui Nargiza, yang mendakwa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun "tidak kisah" dipindahkan kepada keluarga lain dengan bayaran sejumlah wang.
Jurucakap badan amal itu berkata: "Kami berharap ia adalah cerita rekaan, bahawa ini adalah gurauan bodoh seseorang atau penipuan untuk wang.
“Namun, apabila kumpulan kami bersama-sama pekerja kumpulan penyiasatan jenayah terancang keluar untuk ‘urusan’ itu, kami menyaksikan budak itu betul-betul dijual.
"Nargiza menerima wang itu dan memberikan kanak-kanak itu kepada orang yang tidak dikenalinya."
Wanita berusia 36 tahun itu telah ditahan manakala anaknya ditempatkan dalam rawatan perubatan.
Jurucakap Alternativa menambah: "Nargiza menjelaskan bahawa suaminya tidak menyukai anak sulungnya, dan mereka memutuskan untuk menjual anak itu untuk membayar hutang mereka."
Sumber: mStar |