Kesemua mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selepas mereka yang berusia antara 24 hingga 44 tahun dipaksa bekerja dekat sebuah kilang simen oleh ejen pekerjaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata, operasi risikan dan siasatan dilakukan dengan kerjasama Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang diketuai Ketua Ketua Penolong Pengarah D3, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus Komisioner kira-kira pukul 6.30 petang di kawasan Kampung Sungai Udang, Klang.
Menurutnya, mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menangkap empat suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita sebahagiannya adalah warga asing berusia antara 38 hingga 43 tahun yang merupakan ejen pekerjaan.
“Baru-baru ini, Bahagian D3 (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman menjalankan satu risikan dan operasi melibatkan eksploitasi buruh paksa yang aktif di kawasan Klang.
“Hasil dari risikan dan siasatan dalam operasi berjaya mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan (vulnerable) terdedah kepada jenayah pemerdagangan orang yang melibatkan pekerja asing,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, semasa serbuan, polis turut merampas 20 pasport dan wang tunai sebanyak RM13,600.00 yang dipercayai gaji pekerja.
Kata Hoong Fong lagi, pasport kesemua mangsa ditahan ejen sebaik tiba di negara ini dan tiada permit kerja yang sah sebagaimana yang dijanjikan.
Malah, mangsa juga disyaki dipaksa bekerja lebih masa untuk membayar balik segala kos perjalanan dan passport.
“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Majistret Mahkamah Klang meluluskan reman ke atas semua suspek selama enam hari sehingga 15 Ogos. Polis masih menjalankan siasatan dan akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh masa yang terdekat,” ujarnya.
Tambahnya, polis menasihatkan orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat pekerja warga asing yang dieksploitasi oleh ejen pekerjaan atau majikan agar tindakan undang-undang boleh diambil. –
UTUSAN ONLINE