Georgetown: Polis Pulau Pinang masih menjalankan siasatan berhubung pembeli sejumlah pemegang cip bernilai RM4.2 juta yang dilaporkan dirompak dari sebuah stor kilang di Bukit Tengah, Bukit Mertajam pada 5 Julai lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemegang cip itu mempunyai fungsi yang rumit dan tidak mungkin dijual kepada orang biasa.
"Sehingga kini, kita sudah menangkap tujuh individu dan boleh dikatakan berjaya menyelesaikan kes berkenaan, namun kita tidak dapat menemui kembali barang yang dicuri itu.
"Sekiranya dijual di luar negara sudah tentu mereka (pembeli) tahu kegunaan (pemegang cip) dan barang itu terlalu advance (maju) dan ia tidak digunakan orang biasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki termasuk dua pengawal keselamatan dan seorang pekerja kilang warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 60 tahun.
"Dalam konteks ini saya hanya boleh menasihati pemilik kilang dan gudang agar mereka menggajikan pekerja yang berwibawa dan mempunyai rekod bersih," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu suspek dikatakan memecah masuk stor dan mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas sebelum melarikan 16 kotak mengandungi pemegang cip menggunakan sebuah lori.