View: 398|Reply: 0
|
[Kedah]
Dua beranak bersama sepupu ditahan edar ganja
[Copy link]
|
|

ZAIDY Che Hassan menunjukkan ketulan ganja bernilai RM52,500 yang dirampas di sebuah rumah di Pinang Tunggal, Sungai Petani, kelmarin. -UTUSAN/ NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI: Tiga sekeluarga ditahan kerana disyaki mengedar dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pinang Tunggal, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kira-kira 4.30 petang.
Zaidy berkata, kesemua suspek yang ditahan adalah warga tempatan berusia antara 22 hingga 59 tahun.
Beliau berkata sebanyak 21 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 21.9 kilogram bernilai kira-kira RM52,500 turut dirampas dalam serbuan tersebut.
“Semua dadah disyaki untuk pasaran tempatan di sekitar Sungai Petani dan Pinang Tunggal dan dianggarkan boleh digunakan sehingga 43,770 orang jika bahan terlarang itu terlepas ke pasaran,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda di sini, hari ini.
Menurut Zaidy, ujian air kencing mendapati suspek berusia 33 dan 22 masing-masing positif dadah jenis ganja dan methamphetamine, manakala suspek berusia 59 tahun negatif dadah.
Katanya. siasatan awal mendapati suspek pertama yang berusia 33 tahun bekerja sebagai pemandu van dan berstatus duda anak dua.
“Suspek ini mempunyai empat rekod jenayah berkaitan narkotik dan enam rekod jenayah lain termasuk satu kes dikehendaki polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Zaidy berkata, suspek kedua pula berusia 22 tahun yang bekerja kilang dan berstatus bujang adalah sepupu suspek pertama dan mempunyai empat rekod jenayah termasuk dua kes dikehendaki polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Manakala suspek ketiga berusia 59 tahun dan bekerja kilang yang merupakan bapa kepada suspek pertama tiada sebarang rekod jenayah lampau,” jelasnya.
Menurut beliau, siasatan awal juga mendapati suspek yang berusia 33 tahun adalah dalang dalam aktiviti pengedaran dadah dengan berperanan sebagai penjaga stor, manakala dua suspek lagi masih dalam siasatan bagi melihat kaitan dalam aktiviti pengedaran dadah ini.
“Kita juga masih dalam tindakan untuk mengesan saki baki yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ini. Semua suspek direman selama enam hari bermula semalam hingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” jelasnya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... ditahan-edar-ganja/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|