|

KEGEMBIRAAN para peserta yang berjaya menangkap dan membawa pulang itik sempena Karnival Keleboq Kangaq di kawasan sawah bersebelahan klinik desa, Behor Lateh, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
KANGAR: Suasana di sawah bersebelahan klinik desa, Behor Lateh meriah dengan orang ramai tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti menangkap itik sekali gus membawa pulang hasil tangkapan tersebut sempena Karnival Keleboq Kangaq di sini hari ini.
Karnival yang turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik lain seperti tenggalong bola, tarik tali, gagau ikan, terbey, gelung getah dan banyak lagi berjaya menarik lebih 2,000 pengunjung yang tidak kisah berselut untuk menyertai program berkenaan.
Program yang bermula pukul 9 pagi berakhir pukul 2 petang itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Anak Jati Perlis (Jati) dengan kerjasama Pejabat Dr. Fathul Bari.
Seorang peserta aktiviti tangkap itik, Muhamad Muzafar Shah Daud,40, berkata, dia berjaya menangkap dan membawa pulang lima ekor itik pada program tersebut.
Katanya, dia tidak sangka mampu menangkap sehingga lima ekor itik disebalik ramai orang yang menyertai aktiviti berkenaan.
“Alhamdulilah, rezeki saya dapat bawa pulang itik yang turut akan diberikan kepada bapa mentua dan untuk memasak pelbagai jenis hidangan berasaskan itik itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Adib Najmi Asmayudin,14, pula berkata, dia yang pertama kali menyertai aktiviti seperti itu berjaya menangkap dua ekor itik untuk dibawa pulang ke rumah.
“Alhamdulilah, boleh ibu masak rendang dengan itik yang berjaya ditangkap ini. Aktiviti yang diadakan ini sangat menarik dan berjaya menarik minat orang ramai khususnya mereka yang merindui aktiviti di dalam sawah ini,” katanya.
Sementara itu, Penaung Jati, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, karnival tersebut mengenengahkan elemen penting dalam pertanian termasuk daripada segi hadiah cabutan bertuah berupa barangan pertanian termasuk sebanyak enam ekor kambing.
Katanya, program tersebut juga bertujuan mengeratkan ukhwah dan hubungan sesama masyarakat yang tidak melepaskan peluang hadir menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan.
“Alhamdulilah, dengan kerjasama pelbagai pihak, karnival ini berlangsung cukup meriah dengan kehadiran lebih 2,000 orang daripada penduduk sekitar Parlimen Kangar dan seluruh negeri ini. Insya-Allah kita akan jadikan program ini sebagai aktiviti tahunan selepas ini,” katanya. –UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... eboq-kangaq-meriah/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|