|
Hakim Danish raih kemenangan di Thailand. - FB ZK Racing dan Asia Talent Cup
KUALA LUMPUR: Pelumba muda sedang meningkat naik, Hakim Danish Ramli meraih kemenangan ketiganya dalam kempen Asia Talent Cup (ATC) 2022 apabila menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 4 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand di tempat pertama.
Hakim, 15, yang memulakan saingan dari petak kedua, menamatkan perlumbaan 16 pusingan itu dengan catatan masa terpantas 29 minit 01.585 saat (s) sekali gus merampas semula kedudukan keseluruhan yang terlepas dari genggaman sebelum ini.
Pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama pula berada di tempat kedua selepas mencatat 29'01.631s manakala Gun Mie (Jepun) melengkapkan pentas podium dengan catatan, 29'01.848s.
Kemenangan diraih Hakim itu membolehkan dirinya kembali mendahului carta keseluruhan dengan 117 mata manakala Shinya Ezawa (Jepun) berada di tangga kedua, 106 mata. Hamad Al-Sahouti pula berada di tangga ketiga dengan 73 mata.
Mie berada di tangga keempat dengan 69 mata manakala rakan senegara, Amon Odaki ketinggalan enam mata menjelang Perlumbaan 2 yang dijadual berlangsung esok.
Untuk rekod, Hakim sebelum ini pernah 'menawan' Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia dengan memperoleh kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan yang berlangsung pada Mac lalu.
Kalendar ATC 2022 dijadual berbaki dua lagi pusingan iaitu di Litar Antarabangsa Sepang dari 21 hingga 23 Oktober ini bersempena Grand Prix (GP) Malaysia sebelum kemuncak musim bertempat di Mandalika pertengahan November ini.
https://www.bharian.com.my/sukan ... -antarabangsa-chang |
|