BUKIT MERTAJAM: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pas perjalanan secara mingguan dan bulanan bagi pengguna komuter di kawasan utara dengan mereka berpeluang menikmati penjimatan kos sehingga 33 peratus berbanding pembelian tiket biasa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata pihaknya memperkenalkan pas itu sebagai satu inisiatif baharu dalam usaha memberi kemudahan perjalanan yang lebih mampan dan membantu meringankan beban pengguna dalam pasca COVID-19.
Beliau berkata, KTMB turut mengambil maklum berhubung peningkatan kos sara hidup yang semakin mencabar, disamping menggalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan awam.
"Pas ini diperkenalkan bagi dua laluan iaitu Butterworth- Padang Besar-Butterworth- Padang Rengas dan Padang Rengas-Butterworth- Padang Rengas membabitkan 38 perkhidmatan sehari.
"Bagi pas perjalanan secara bulanan, pengguna dapat menikmati penjimatan sehingga 10 hari, manakala pengguna pas mingguan pula akan beroleh penjimatan selama dua hari berbanding membeli tiket biasa," katanya selepas Majlis Pelancaran Pas Perjalanan berkenaan di KTM Bukit Mertajam, di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Mengulas lanjut, Mohd Rani berkata, pas perjalanan mingguan dan bulanan itu boleh didapati mulai 1 November (hari ini) di aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan laman sesawang KTMB.
"Bagi tiket konsesi seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak yang berusia antara empat hingga 12 tahun pula, pas ini hanya boleh didapati di kaunter tiket sahaja.
"Setakat Oktober lalu, sejumlah lebih 1.3 juta pengguna telah berdaftar dengan KITS," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rani berkata, KTMB kini dalam proses untuk meningkatkan bilangan penumpangnya selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.
"Pada masa ini, kita berupaya untuk membawa sehingga 11,000 penumpang pada satu-satu masa. Bagaimanapun, jumlah itu belum menyamai bilangan penumpang sebelum Covid-19 iaitu sehingga 17,000 atas faktor mungkin masih ramai yang bekerja di rumah ketika ini.
"Tetapi kita jangka berlaku peningkatan secara mendadak menjelang hujung tahun ini apabila semua akan kembali bekerja di pejabat semula," katanya.
Beliau berkata, KTMB juga berhasrat untuk menambah baik mutu perkhidmatan mereka termasuk menambah bilangan gerabak selewat-lewatnya menjelang 2025 nanti.