Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan bot nelayan tempatan bersama enam pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana tiada permit serta dokumen pengenalan diri.
Kesemua mereka ditahan ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan rutin Op Tanjung pada kedudukan 42 batu nautika barat Pulau Kendi, di sini, pada jam 12 tengahari semalam.
Pengarah APM Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendali lima kru warga Myanmar serta tekong warga Thailand.
Katanya, kesemua lelaki yang ditahan itu berusia antara 23 hingga 54 tahun.
"Pemeriksaan juga mendapati bot nelayan berkenaan berpangkalan di Hutan Melintang, Perak.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Abd Razak berkata, bot serta kesemua kru yang ditahan termasuk hasil laut dianggarkan berjumlah 500 kilogram (kg) dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung bagi diserah kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut.
"APMM menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada, " katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.