CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 539|Reply: 0

Terserlah jihad kemanusiaan

[Copy link]
Post time 30-12-2022 10:41 AM | Show all posts |Read mode
Terserlah jihad kemanusiaan


AGENSI kerajaan seperti bomba antara pihak yang bertungkus-lumus setiap kali berlaku bencana alam.


Kedudukan geografi menjadikan negara kita khususnya yang bersebelahan Laut China Selatan, iaitu negeri pantai timur terdedah kepada laluan angin Monsun Timur Laut. Kebiasaannya angin itu membawa hujan yang lebat daripada November hingga Februari.

Situasi itulah yang mengakibatkan banyak negeri sekarang dilanda bah. Kini, pelbagai pihak, baik agensi kerajaan seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba dan Penyelamat bersama dengan NGO yang lain berganding bahu mengharung air banjir demi misi menyelamatkan nyawa dan harta benda masyarakat yang terjejas dengan fenomena alam itu.

Dalam pada itu, kita juga dikejutkan dengan insiden tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan banyak nyawa. Dilaporkan usaha dan gerakan mencari dan menyelamat mangsa terbabit masih diteruskan.

Pihak agensi pemerintah seperti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tanpa mengira waktu meskipun keadaan hujan tetap teguh berusaha sedaya upaya untuk mengesan kedudukan mangsa. Baik yang terlibat dalam misi menyelamatkan mangsa banjir, mahupun di lokasi tanah runtuh itu, mereka sebenarnya sedang melakukan misi 'jihad kemanusiaan' yang sangat besar ganjaran pahala di sisi Allah.

Di sinilah kita teringat kepada satu pesanan daripada Rasulullah SAW yang memberitahu kita tentang golongan manusia yang memberikan manfaat kepada insan lain sangat dicintai Allah. Hal itu dapat kita fahami menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: "Siapakah orang yang paling disukai Allah? Apakah amalan yang disukai Allah?

"Lalu baginda SAW menjawab: 'Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang Muslim atau engkau langsaikan hutangnya atau engkau hilangkan kelaparannya. Dengan aku berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan.'"

Jadi, berdasarkan hadis itu memberikan kita gambaran bahawa mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha membantu orang lain yang sedang ditimpa kesusahan adalah insan berjiwa murni yang menggalas misi jihad kemanusiaan. Sesungguhnya, bukan mudah untuk membuang kepentingan diri semata-mata mahu melihat orang lain berada dalam keselesaan dan terhindar daripada malapetaka.

Hanya mereka yang benar-benar memiliki azam dan niat tulus luhur akan memperagakan sikap membantu tanpa memikirkan jasa sumbangan itu dikenang. Mungkin di sanubari mereka tidak pernah memikirkan untuk 'diviralkan' kerana usaha suci mereka adalah amalan yang diredai Allah. Rasulullah SAW memberitahu kita dengan sabdanya: "Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam maka dia bukan dalam kalangan mereka." (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Inilah motivasi semangat yang perlu diingat oleh setiap daripada kita kerana segala perbuatan diri untuk membantu pihak lain yang sangat memerlukan pertolongan menepati apa yang dipesankan oleh Rasulullah. Malah, apa yang sedang bertungkus-lumus dilakukan oleh pelbagai pihak untuk misi kemanusiaan itu selaras dengan firman Allah pada Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa serta janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)."

Petugas dan sukarelawan yang masa ini sedang basah kuyup meredah banjir dan tanah berlumpur di kawasan tanah runtuh itu sewajarnya kita 'dendangkan' mereka selaku wira negara yang perlu dihargai. Ya, kita menghargai setiap titik keringat mereka berkorban apa sahaja demi kemanusiaan.

Sesungguhnya, Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita betapa besarnya ganjaran pahala untuk mereka yang secara ikhlas murni membantu orang lain. Dalam satu sabdanya, Rasulullah SAW memberitahu: "Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia daripada seorang Mukmin maka Allah melapangkan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesulitan maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Alhamdulillah syukur, hingga kini masyarakat di negara kita masih tetap utuh bersikap saling membantu dalam kesusahan. Kehidupan bak cubit paha kanan, terasa di paha kiri masih tebal di sanubari masyarakat. Keadaan murni seperti ini sewajarnya dikekalkan sepanjang masa kerana ia akan membawa kepada senario sosial yang sejahtera.

Warganegara yang berjiwa ingin membantu dan memberikan sumbangan bakti juga menepati kehendak dan impian Rasulullah SAW yang ingin membina ummah aman sejahtera serta hidup bak serai serumpun. Sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Umar melaporkan Rasulullah SAW pernah bersabda: "Muslim yang satu adalah saudara Muslim yang lain, oleh sebab itu, ia tidak boleh menganiaya dan mendiamkannya. Barangsiapa memperhatikan kepentingan saudaranya maka Allah akan memperhatikan kepentingannya. Barangsiapa membantu kesulitan seorang Muslim, Allah akan membantu kesulitannya daripada beberapa kesulitannya nanti pada hari kiamat. Dan barangsiapa menutupi (aib) seorang Muslim, Allah akan menutupi (aib)nya pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Bagi yang mungkin tidak mampu untuk 'turun padang' bersama-sama menyumbangkan tenaga berbakti dalam misi kemanusiaan seperti ketika banjir, masih mampu menyalurkan rasa empati dengan berdoa agar mangsa fenomena alam dapat diselamat dan turut mendoakan supaya semua petugas serta sukarelawan dipermudahkan Allah dalam setiap urusan murni mereka. Sebenarnya, berdoa untuk orang lain juga dikira satu sumbangan yang sangat dianjurkan oleh agama kita.

Bersamalah kita mendoakan keselamatan semua pihak terbabit dilindungi Allah dan marilah kita membaca doa sebagai terkandung dalam Surah Hud ayat 44 yang bermaksud: "Wahai bumi, telanlah airmu dan wahai langit, berhentilah daripada curahan hujanmu."

Ya Allah, selamatkanlah saudara kami yang sedang ditimpa musibah!



Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... h-jihad-kemanusiaan

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 12:47 AM GMT+8 , Processed in 0.056054 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list