CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9001|Reply: 0

Niat, ilmu serta kejujuran sebagai sandaran

[Copy link]
Post time 13-3-2023 05:30 PM | Show all posts |Read mode
Niat, ilmu serta kejujuran sebagai sandaran



APABILA sifat jujur menjadi lazim dalam amalan berniaga, maka perniagaan terbabit tidak akan berlaku penipuan, penindasan, riba dan khianat kepada pelanggan.
Perniagaan adalah kerjaya yang sangat mulia di sisi Islam. Berniaga adalah amalan nabi sejak sekian dahulu sehingga Rasulullah SAW sendiri seorang peniaga. Hal ini boleh disaksikan dalam sejarah kehidupan Baginda sejak kecil yang sudah biasa berniaga sehingga ke Syam bersama bapa saudaranya, Abu Talib dan kabilah Arab Quraisy.

Bahkan jodoh Baginda dengan Saidatina Khadijah juga hasil daripada kecintaan Khadijah terhadap sifat dan akhlak mulia Baginda sepanjang mengendalikan urusan perniagaan sehingga kecintaan itu membawa kepada perkahwinan.

Jika kita mahu memahami ilmu perniagaan patuh syariah secara amali, maka sunah Baginda dalam berniaga adalah jawapannya yang mesti menjadi sandaran setiap peniaga Muslim.

Justeru seorang peniaga Muslim seharusnya memiliki sifat mahmudah yang dikehendaki syarak supaya kerjaya yang mulia ini beroleh keuntungan di kedua-dua negeri iaitu negeri dunia dan akhirat.

Ini kerana apa jua amalan dalam Islam akan dinilai sama ada ibadat atau maksiat, maka perniagaan yang dijalankan menurut aturan syariat akan beroleh pahala manakala yang bercanggah dengan kehendak agama mengundang dosa dan bala daripada Allah SWT.

Peniaga Muslim sepatutnya menjadi model ikutan terbaik dalam dunia perniagaan kerana Islam sudah menetapkan peraturan muamalat terbaik yang bukan sahaja sebagai sistem kehidupan Muslim, tetapi untuk semua manusia.

Pertama, perniagaan itu diniatkan sebagai satu ibadah kepada Allah SWT. Al-Quran sebaik-baik buku perniagaan Muslim yang meletakkan asas yang sangat jelas seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." (Surah al-Zariyat: 56).

Peniaga yang memiliki sifat mahmudah sudah pasti akan menjalankan perniagaannya seperti dia melaksanakan ibadah yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya kerana seorang yang berniaga itu sebenarnya dia juga melakukan ibadah kepada tuhannya. Dia juga sedar bahawa ibadah bukan hanya ketika di masjid, tetapi di mana-mana dan pada bila-bila masa termasuk ketika berniaga.

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada sahabat Muhajirin supaya membetulkan niat mereka hijrah ke Madinah hanya kerana Allah SWT meskipun mereka berhajat kepada perkahwinan dan perniagaan yang menguntungkan. (Riwayat Muslim)

Kedua, peniaga mesti memahami ilmu fiqh muamalat. Fiqh muamalat ialah salah satu bidang ilmu dalam disiplin pengajian syariah yang sekurang-kurangnya dipelajari dan difahami peniaga supaya amalan muamalat (perniagaan) itu menepati hukum hakam agama seperti yang terkandung dalam al-Quran, hadis dan pedoman fuqaha' (ahli fekah) mengenai hukum halal dan haram dalam perniagaan.

Sifat ini pernah ditegaskan Saidina Umar al-Khattab RA bahawa setiap peniaga Muslim yang berniaga di pasar wajib belajar hukum jual beli (fiqh Muamalat) seperti yang ditetapkan dalam ilmu fekah sebelum berniaga.

Jika peniaga tidak memiliki perkara ini, maka perniagaannya itu kemungkinan akan terdedah kepada penyelewengan, rasuah, riba, gharar, syubhah, khianat dan pecah amanah tanpa dia sedar bahawa perkara itu adalah larangan dan dosa di sisi agama.

Selain belajar secara bersemuka, peniaga boleh memahami ilmu ini dengan cara membaca buku, artikel atau mendengar topik berkaitan secara dalam talian.

Ketiga, peniaga hendaklah jujur ketika berniaga. Jujur antara sifat Rasulullah SAW yang sangat disukai kabilah Arab sehingga Baginda digelar sebagai al-Amin. Apabila orang Quraisy bermusafir ke Syam dan Yaman, mereka menyimpan barang berharga dengan Baginda walaupun mereka tidak beriman sama sekali dengan agama dan tuhan Muhammad.

Ini sifat jujur yang dimiliki Baginda yang diyakini walaupun daripada pihak musuh. Hadis daripada Abu Sa'id bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: "Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada." (Riwayat al-Tirmizi) Hadis ini mengingatkan peniaga bahawa kerjaya peniaga mempunyai kedudukan mulia sehingga layak duduk bersama dengan nabi.

Apabila sifat jujur menjadi lazim dalam amalan berniaga, maka perniagaan terbabit tidak akan berlaku penipuan, penindasan, riba dan khianat kepada pelanggan. Peniaga juga tidak akan menjadikan keuntungan sebagai matlamat segala-galanya sehingga sanggup merampas hak pelanggan, sebaliknya mengutamakan konsep sama-sama untung antara peniaga dan pelanggan.

Tiga sifat asas ini adalah keperluan mutlak yang sewajarnya menjadi prinsip seorang peniaga Muslim. Berniaga satu ibadah dan ia adalah amalan mulia dalam agama, maka seorang peniaga Muslim mesti menterjemahkan keindahan amalan berniaga sebagai seorang yang sedang beribadah kepada tuhannya, seorang yang berilmu pengetahuan mengenai agama dan seorang yang jujur dalam pekerjaannya.

Apabila peniaga memiliki sifat ini, dia akan berasakan setiap perbuatannya ketika berniaga sentiasa diperhati dan dinilai Allah SWT seterusnya perasaan ini mendidik dirinya menjadi seorang hamba yang taat dan patuh kepada Tuhannya sama ada ketika dia untung atau rugi dalam perniagaan.



Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... an-sebagai-sandaran

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 02:04 AM GMT+8 , Processed in 0.048567 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list