|
Chery Omoda 5 merupakan sebuah SUV kompak yang akan dilancarkan di Malaysia untuk menjadi pesaing terbaru bagi Honda HR-V dan Proton X50. Dijangka dilancaarkan pada suku kedua tahun ini, kami tampilkan terlebih dahuly Chery Omoda 5 ini dalam galeri penuh untuk tatapan anda.
Model ini mempunyai ukuran 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar, menjadikan Omoda 5 ini lebih panjang 15 mm dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V. Bagaimana pun, Omoda 5 mempunyai ketinggian 1,585 mm, kurang 5 mm berbanding HR-V, tetapi dengan jarak roda yang lebih panjang 20 mm, menjadikannya 2,630 mm.
Untuk rujukan, HR-V mempunyai ukuran dimensi 4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,610 mm. Sementara Proton X50 pula dengan ukuran 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,600 mm.
Untuk unit enjinnya, Omoda 5 dengan spesifikasi pasaran Malaysia akan menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana 147 PS (145 hp) dan 230 Nm tork. Kuasa ini dihantar ke roda depan melalui CVT. Kini juga disahkan bahawa enjin berkenaan akan diberikan jaminan 10-tahun/1,000,000 km daripada Chery, sebuah tawaran yang menunjukkan mereka cukup yakin dengan produk yang dihasilkan.
Berbanding pesaing, HR-V misalnya menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder yang menghasilkan 181 PS (178 hp) dan 240 Nm tork, sementara X50 dengan enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder yang menjana 177 PS (174 hp) dan 255 Nm tork dalam versi TGDi atau 150 PS (148 hp) dan 266 Nm dalam versi PFI.
Omoda 5 menampilkan pendekatan rekaan Art in Motion oleh Chery, dengan kelainan antaranya di bahagian gril depan yang besar dan tanpa bingkai, yang masuk bersekali dengan DRL LED tirus yang ada. Lampu utama LED pula terletak berdekatan bucu bampar depan di bawah DRL, dan di belakang, rekaan lampu yang diberikan lebih lebar dengan tulisan Chery.
Di dalam, papan pemukanya yang lebar menempatkan kluster instrumen serta skrin sentuh di tengah, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci. Skrin kedua itu adalah untuk kegunaan infotainmen yang lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dengan sokongan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.
Butang sentuh turut digunakan untuk kawalan sistem pendingin (dengan corong di belakang), dan terletak di bahagian tengah corong udara. Di bawahnya terletak juga pengecas tanpa wayar dan terhubung ke bahagian konsol tengah bertingkat yang menempatkan slot USB, tuil gear, brek parkir elektronik (dengan Auto Hold), dial dan butang untuk peninjau persekitaran, mod pemanduan dan lampu kecemasan.
Ruang but yang tersedia pula ialah 360 liter, termasuk ruang simpanan di bawah lantainya, dan boleh diluaskan menjadi 1,075 liter dengan kerusi belakang nisbah lipatan 60:40 yang ada itu dilipat. Turut tersedia ialah pelindung mudah alih serta ruang tayar ganti saiz kecil.
Dari segi kelengkapan, Omoda 5 datang dengan rim aloi 18-inci dengan kemasan merah serta tayar 215/55 GitiComfort F50, sistem penghidup enjin tanpa kunci, sunroof larasa kuasa, pintu belakang larasan kuasa, kerusi balutan kulit, kerusi depan berkuasa serta perehat lengan depan dan belakang. Untuk keselamatan dan bantuan pemandu, ada enam beg udara, sistem pasif biasa, kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan AEB.
Kami dimaklumkan bahawa spesifikasi dan kelengkapan yang ada pada unit yang anda lihat ini adalah sama sepenuhnya dengan apa yang bakal dilancarkan nanti. SUV ini akan dipasang di sini (CKD) dari awal, dan harganya pula belum ada sebarang petunjuk lagi.
Apa yang sudah diketahui adalah varian paling tinggi Omoda 5 nanti akan berada di antara X50 dan HR-V, dengan lebih dekat ke arah model Proton itu dari segi harganya. Sekadar makluman, varian HR-V paling tinggi dengan enjin VTEC Turbo — V — dijual pada harga RM134,800 sementara X50 Flagship yang paling tinggi pula dengan harga RM113,300. Sejauh mana Omoda 5 ini mampu menggugat pesaing sedia ada?
https://paultan.org/2023/04/05/c ... i-malaysia-suv-ckd/ |
|