|
R Sharmendran (kiri) dan H Sureeya Sankar bersama pingat emas dimenangi di Chroy Changvar Convention Centre, Phnom Penh. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
PHNOM PENH: Atlet karate negara, R Sharmendran meneruskan penguasaannya di Sukan SEA selepas merangkul pingat emas peribadi keempat menerusi kategori kumite bawah 75 kilogram lelaki dengan menewaskan Sot Panith dari Kemboja 6-5 di pentas final.
Faktor pengalaman memberi kelebihan kepada Sharmendran ketika menentang lawannya yang menerima sokongan padu penyokong tuan rumah di Dewan A Pusat Konvensyen Chroy Changvar.
Sharmendran yang memenangi pingat emas itu sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berkata, dia terkejut dengan serangan hujung aksi daripada Sot.
Sharmendran juga melakar rekod baharu apabila empat pingat emas berturut-turut yang dimenanginya itu mengatasi pencapaian jurulatih negara, R Puvaneswaran, yang memenangi tiga emas antara 2005 sehingga 2009.
"Apabila mata terikat 5-5, saya cuba bertenang dan pada 30 saat terakhir sangat sengit. Saya rasa inilah saingan paling sukar sepanjang beraksi di Sukan SEA.
"Barisan atlet muda mempamer aksi semakin meningkat. Semua pesaing tertumpu kepada saya. Saya sedar ia pasti sukar pada edisi kali kerana usia saya semakin tua.
"Sukan SEA kali ini amat bermakna kepada saya. Saya gembira kerana melakar rekod baharu dan menjadi pembawa Jalur Gemilang untuk kontinjen negara," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... na-buat-sharmendran |
|