BALIK PULAU: Hujan lebat berterusan sejak lewat malam tadi menyebabkan tanah runtuh di Jalan Balik Pulau-Batu Feringghi, di sini, pagi ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melalui catatan di Facebook memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.15 pagi membabitkan runtuhan di kawasan seluas 30 meter di pinggir Kilometer 46.8 laluan terbabit.
"Setakat ini hanya satu lorong sahaja boleh dilalui dengan laluan hanya dibuka kepada kenderaan ringan," katanya.
Berdasarkan foto dikongsi melalui Facebook JKR Pulau Pinang, sebahagian pinggir laluan terkesan dengan runtuhan termasuk meruntuhkan penghadang.
Papan tanda amaran juga diletakkan di laluan terbabit sebagai makluman kepada pemandu mengenai kejadian tanah runtuh.