BAYAN LEPAS: Polis menahan lelaki yang disyaki menyerang dan mengetuk kepala pemilik kedai runcit di Jalan Datuk Ismail Hashim, Sungai Ara di sini, semalam.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya pada jam 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau berkait jenayah atau dadah.
"Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu diperintah reman selama tiga hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian pada jam 1.40 tengah hari suspek ke kedai runcit berkenaan sebelum mengetuk kepala pemilik premis runcit yang juga isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.
Difahamkan suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati apabila anak perempuannya yang dianggarkan berusia 11 tahun dituduh mencuri oleh wanita itu.
Suspek dikatakan cuba mengetuk kepala pemilik kedai runcit itu kali kedua namun berjaya dielak sebelum mangsa berkenaan meminta pekerja kedai menelefon polis.
Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan dan susulan itu laporan polis dibuat di Balai Polis Teluk Kumbar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 kanun yang sama.