Sintok: Sistem kuota dalam kalangan pelajar ke peringkat universiti awam yang dipakai ketika ini, perlu dikekalkan bagi menjamin hak istimewa orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun suatu pendekatan baharu bagi menjamin peluang pelajar bukan Bumiputera yang cemerlang mendapat peluang ke bidang kritikal seperti perubatan perlu dilaksanakan bagi mengelak negara terus kehilangan bakat.
Jelasnya, sekiranya kerajaan bertindak mengenepikan sistem kuota dan hanya mengutamakan meritokrasi dalam pengambilan pelajar universiti, maka ia boleh menyebabkan ketegangan dan isu dalam politik.
"Saya sebut beberapa prinsip dalam Perlembagaan tentang jaminan peluang supaya anak Melayu dan Bumiputera terus diberikan tempat bagi membolehkan mereka mampu bersaing yang perlu kita kekalkan.
"Sekiranya tidak dibuat, akan berlaku seperti di Universiti Malaya pada tahun 1960-an hingga 1970-an apabila tiada anak Melayu di Fakulti Kejuruteraan dan hanya 12 peratus di Fakulti Perubatan menyebabkan kerajaan pada masa itu bantu anak Melayu supaya boleh bersaing," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Sesi Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang turut dihadiri Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada masa sama sistem meritokrasi akan terus digunakan kerana bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar bukan Bumiputera supaya mereka tidak berasa dipinggirkan.
"Program kuota ini saya setuju kekal, tetapi kita kena cari jalur lain untuk memberi ruang kepada anak bukan Melayu, bukan Bumiputera yang pintar, yang keputusannya baik supaya jangan nampak tersisih.
"Saya telah bercakap dengan Fadhlina (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) supaya sistem itu dikekalkan dan dalam masa sama kita buka ruang dan peluang kepada pelajar yang dapat keputusan baik dibantu melanjutkan pengajian," katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta negeri terutama yang ditadbir pembangkang tidak menafikan sumbangan diberikan Kerajaan Persekutuan dalam membantu pembangunan negeri berkenaan.
Katanya, berikutan itu adalah lebih baik sekiranya pentadbiran negeri terbabit dapat bersama Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan lebih banyak pembangunan di bawa pada masa depan.
"Kerajaan negeri jika sehaluan (Kerajaan Persekutuan) maka lebih senang, apatah lagi jika pemimpinnya sopan dan bijak menjaga hubungan, maka itu akan lebih membantu.
"Soal pembangunan ekonomi negeri, contohnya Kedah yang tertinggi pelaburan itu adalah di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) yang hampir keseluruhan pelaburan yang dibawa kepadanya dibantu Kerajaan Persekutuan.
"Jika hendak kata kerajaan negeri sudah berjaya, Kulim Hi-Tech itu dana Kerajaan Persekutuan. Saya tak nafi peranan kerajaan negeri, tapi dana dan pelaburan paling banyak adalah dari Kerajaan Persekutuan," katanya.
Anwar berkata, perkara sama turut berlaku di Terengganu apabila pelaburan terbesar di negeri itu adalah dalam sektor gas dan minyakdi bawah Petronas yang dipantau secara terus oleh Perdana Menteri sendiri.
"Terengganu memang ada peningkatan, tetapi dari nilai ambang terendah kerana negeri itu antara termiskin di Semenanjung, jika ekonominya naik empat peratus dan Selangor naik satu peratus, sebenarnya nilai Selangor itu lebih tinggi.
"Kena faham sektor paling tinggi itu adalah gas dan minyak. Sektor itu di bawah siapa? Di bawah Petronas. Petronas di bawah siapa? Di bawah Perdana Menteri," katanya.