|
Penawaran model BMW i4 di Malaysia yang terdiri daripada varian eDrive40 dan M50 kini ditambah dengan dua lagi varian iaitu eDrive35 dan eDrive35 M Sport, yang dijual pada harga masing-masing RM258,210 dan RM284,210. Harga ini adalah bagi pakej yang datang dengan jaminan biasa dua tahun dan tidak termasuk insurans.
Sama seperti eDrive40 M Sport, varian eDrive35 ini juga menggunakan motor elektrik yang terletak di belakang, tetapi kuasanya berkurang menjadi 286 PS (282 hp atau 210 kW) dan tork 400 Nm, berbanding 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan 430 Nm yang ditawarkan oleh eDrive40. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan oleh eDrive35 dalam masa enam saat, manakala laju maksimum pula adalah 190 km/j.
Motor elektrik pada eDrive35 ini juga mendapat kuasa daripada bateri lithium ion, tetapi dengan kapasiti lebih rendah, iaitu 70.3 kWh dan boleh mencapai jarak gerak 483 km. Sebagai perbandingan, bateri eDrive40 pula berkapasiti 83.9 kWh dan boleh mencatat jarak gerak 590 km.
Pengecas AC 11 kW (Type 2) yang datang dengan kereta ini adalah sama dengan eDrive40, dan membolehkan ia dicas penuh dalam masa 8.25 jam. Apabila menggunakan pengecas pantas DC CCS2 pula, eDrive35 hanya boleh menerima kuasa sehingga 180 kW dan baterinya boleh naik dari 10-80% dalam masa 32 minit.
Berkenaan kelengkapan, eDrive35 dipasang sekali dengan pakej Sport yang memberikan rim 18 inci Style 853 serta kemasan berwarna Frozen Grey di luar. Anda juga akan mendapat lampu utama LED (eDrive40 mendapat LaserLight), suspensi biasa (eDrive M40 menggunakan unit adaptif M), kemasan kayu di dalam, lapik bumbung M, pengawal suhu tiga zon, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori bagi pemandu, lampu suasana, pengecas tanpa wayar, pintu but bukaan kuasa, IconicSounds Electric dan Comfort Access.
Pergi pula kepada eDrive35 M Sport, kelengkapan yang sama dengan eDrive35 kemudiannya ditambah dengan bampar yang lebih agresif serta pakej kemasan luar M Shadow Line. Rim masih menggunakan unit 18 inci, tetapi daripada rekaan Aerodynamic 858 M.
Di dalam, anda akan mendapat roda stereng kulit M, kemasan aluminium Rhombicle serta sistem BMW Live Cockpit Professional yang menampilkan panel instrumen digital 12.3 inci serta panel infotainmen dengan skrin sesentuh 14.9 inci di tengah.
Servis ConnectedDrive diberikan sekali dengan Connected Package Professional bersama sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Varian eDrive35 biasa juga datang dengan tetapan dua skrin, tetapi dengan sistem BMW Live Cockpit Plus yang tidak mempunyai head-up display.
Walaupun begitu, kedua-dua varian eDrive35 ini masih datang secara standard dengan pakej Driving Assistant yang termasuk Active Cruise Control dengan fungsi stop & go, Lane Departure Warning dengan Lane Return, Lane Change Warning, Front Collision Warning dengan Brake Intervention (AEB), Rear Crossing Traffic Warning, Rear Collision Prevention dan Speed Limit Info. Turut diberikan adalah pakej Parking Assistant dengan kamera undur, Active Park Distance Control dan Reversing Assistant.
Warna yang ditawarkan untuk i4 eDrive35 adalah Black Sapphire, Mineral White, Sanremo Green, Skyscraper Grey dan Aventurine Red, sementara eDrive35 M Sport pula ditawarkan dalam dua pilihan iaitu M Portimao Blue dan M Brooklyn Grey. Balutan kulit sintetik Sensatec di dalam pula datang dalam warna hitam, Cognac atau Tacora Red.
Setiap pembelian datang dengan jaminan bateri lapan tahun atau 160,000, kabel pengecas awam, pengecas rumah mudah alih, servis bantuan tepi jalan, BMW Service Online dan BMW Group Loyalty+ Mobile App – BMW Privileges Card.
https://paultan.org/2023/08/01/b ... jarak-gerak-483-km/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|