Edited by pengecattaik at 12-8-2023 01:42 PM
RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, mengambil petunjuk daripada mata wang China, yuan, yang meningkat ketara susulan lebih banyak sokongan daripada People’s Bank of China.
Dolar AS juga kekal kukuh menjelang data inflasi AS dikeluarkan lewat hari ini, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini berbanding dolar AS.
Beliau berkata, ekonomi China terus mendapat perhatian susulan penguncupan data perdagangan dan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang negatif baru-baru ini.
Ini menunjukkan China memerlukan rangsangan ekonomi untuk berkembang pada kadar mampan bagi separuh kedua 2023, katanya.
Malam ini, tumpuan akan diberikan kepada IHP AS yang dijangka meningkat sedikit kepada 3.3 peratus pada Julai daripada 3.0 peratus pada bulan sebelumnya, manakala IHP teras berkemungkinan kekal pada 4.8 peratus.
Dalam beberapa keadaan, nampaknya terdapat kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global yang memerlukan dasar monetari yang akomodatif. Walau apapun keadaannya, situasi penghindaran risiko boleh membawa kepada permintaan yang lebih tinggi untuk dolar AS,” katanya kepada Bernama.
|