CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1877|Reply: 0

Pembiayaan hingga 120%

[Copy link]
Post time 17-8-2023 08:25 AM | Show all posts |Read mode
Pembiayaan hingga 120%

SJKP dapat mengatasi masalah rumah yang tidak terjual oleh pemaju, malah boleh merangsang semula pasaran harta rumah kediaman yang masih lagi terkesan disebabkan oleh pandemik.


Kuala Lumpur: Penambahbaikan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan menyediakan pembiayaan sehingga 120 peratus untuk rumah berharga RM300,000 membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri serta merangsang semula pasaran hartanah.

Profesor di Fakulti Perniagaan Program Pengurusan Harta Tanah & Perlelongan International University of Malaya-Wales (IUMW) Prof Dr Noor Rosly Hanif berkata, skim SJKP adalah untuk semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan tempoh pembiayaan pinjaman perumahan bagi tempoh 35 tahun atau sehingga mencapai usia 70 tahun.

Menurutnya, melalui pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan SJKP sebanyak RM5 bilion.

"Sudah pasti dengan penambahbaikan skim ini di bawah Ekonomi Madani akan membantu bakal pembeli untuk pembiayaan gadai janji pembelian rumah pertama mereka.

"Gaji kecil, tiada pendapatan tetap dan tidak mempunyai slip gaji seperti pekerja ekonomi gig dan bebas, pemilik perniagaan atau usahawan kecil antara faktor utama kebanyakan rakyat Malaysia pada masa ini tidak membeli rumah.

"Lebih daripada 50 peratus tenaga kerja negara adalah daripada golongan ini," katanya.

Menurutnya, menerusi pembiayaan sehingga 120 peratus dari harga rumah untuk pembelian rumah kos rendah dan sederhana sama ada sedang dibina atau sudah siap atau rumah sedia ada dalam pasaran sekunder mahupun lelongan, ia akan merangsang semula pasaran hartanah.

"Ia akan memberi impak menyelesaikan dua isu semasa negara iaitu rumah yang tidak terjual berharga RM300,000 dan ke bawah iaitu 30 peratus daripada jumlah stok unit rumah tidak terjual.

"Keadaan ini juga membolehkan golongan berpendapatan rendah, belia dan graduan universiti memiliki rumah," katanya.

Beliau berkata, penekanan menerusi Ekonomi Madani kepada pembiayaan pinjaman perumahan RM300,000 dan ke bawah ini adalah tepat kerana ia adalah harga rumah mampu milik bagi golongan sasar ini.

Menurutnya, bagi keluarga yang mempunyai purata pendapatan isi rumah RM4,000 sebulan, harga rumah yang layak dibeli ialah RM250,000.

Katanya, dengan mendapat pembiayaan sehingga 120 peratus bermakna pembeli itu akan mendapat pembiayaan berjumlah sebanyak RM300,000.

"Ini akan membantu untuk membayar 10 peratus deposit harga rumah, bayaran fi guaman yang sangat tinggi sekarang, kos untuk pemasangan utiliti seperti elektrik, air dan internet, kos pemasangan 'grill' pintu rumah, perabot asas dan sebagainya.

"Jika kita lihat pula kepada pasaran sekunder dan lelongan, terdapat banyak tawaran untuk menjual rumah di bawah harga RM300,000 sekarang tidak berjaya dijual kerana pasaran permintaan sangat lemah.

"Ini disebabkan oleh masalah susah untuk mendapat pinjaman bank. Dengan adanya skim SJKP, ia boleh menjadi pengerak semula pasaran perumahan dan merangsang semula pasaran," katanya.

Katanya, penambahbaikan kepada Skim SJKP bagi pembiayaan RM300,000 dengan menyediakan pembiayaan sehingga 120 peratus adalah baik dan menepati kehendak golongan sasar berpendapatan rendah.

"Ia bukan sahaja dapat mengatasi masalah rumah yang tidak terjual oleh pemaju, malah boleh merangsang semula pasaran harta rumah kediaman yang masih lagi terkesan disebabkan oleh pandemik," katanya.

Sementara itu, tukang masak, Muhammad Abd 'Azhim Shahrin, 29, berkata, inisiatif SJKP yang ditambah baik ini akan memberi peluang kepada golongan yang sukar untuk mendapat pembiayaan membeli kediaman.

Katanya, dia juga berminat untuk memohon SJKP jika dipermudahkan urusan permohonan.

"Pembiayaan sehingga 120 peratus ini memang akan meningkatkan jumlah pinjaman kita, tapi sekurang-kurangnya membantu golongan yang sukar menyediakan deposit.

"Saya berharap usaha baik ini dapat diteruskan oleh kerajaan kerana kita tahu prosedur bank memberi pinjaman memang susah sekarang terutama kepada golongan pendapatan rendah, tidak tetap dan bekerja sendiri," katanya.

Pekerja ekonomi gig, Ammar Aisy, 38, berkata sudah tiba masanya golongan sepertinya diberi kemudahan untuk mendapat pembiayaan.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar memang sukar untuk menyediakan deposit yang tinggi bagi membeli rumah.

"Menerusi kemudahan SJKP ini, saya lihat memang dapat membantu golongan sasaran memiliki kediaman sendiri dan diharap usaha ini berterusan serta tidak bersifat sementara," katanya.

Usahawan, Rohana Rusdi, 44, berkata tidak ramai yang mengetahui inisiatif SJKP ini dan dia yang tidak mempunyai slip gaji pasti akan memudahkannya membeli rumah.

"Syarat bank sekarang lebih ketat, dan jika betul SJKP boleh memberi pembiayaan sehingga 120 peratus, itu langkah terbaik kerajaan untuk membantu golongan peniaga.

"Semoga kemudahan SJKP ini akan diwar-warkan dengan meluas supaya lebih ramai mendapat manfaat dan membantu rakyat memiliki kediaman sendiri," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mbiayaan-hingga-120

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 07:04 PM GMT+8 , Processed in 0.088473 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list