|
PEREZ perlu bangkit membuktikan kemampuan sebenar sekiranya mahu mempertahankan kedudukannya bersama Red Bull. - AFP
LONDON – Masa depan Sergio Perez bersama Red Bull Racing berada dalam ancaman bahaya selepas ‘kerusi’ pemandu Mexico tersebut ketika ini dilihat antara yang paling menjadi rebutan dalam grid perlumbaan Formula Satu (F1).
Kontrak Perez akan tamat pada penghujung musim 2024, walaupun terdapat kemungkinan bahawa Red Bull boleh memilih untuk mengekalkan pelumba berusia 33 tahun itu.
Bagaimanapun, sekiranya keputusannya pada separuh musim kedua 2023 dan 2024 tidak memenuhi jangkaan pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes itu, maka berkemungkinan Red Bull akan membawa masuk pelumba baharu.
Daniel Ricciardo dan Yuki Tsunoda adalah dua pemandu yang telah menyatakan minat mereka untuk menggantikan Perez.
Bekas pemandu Red Bull, Alex Albon dilaporkan telah menolak kembali ke pasukan Austria tersebut berikutan prestasi luar biasanya bersama Williams.
Leclerc juga tidak terkecuali dalam radar untuk menyertai pasukan Red Bull biarpun sebelum ini pemandu kelahiran Monaco tersebut telah dikaitkan dengan beberapa pasukan, terutamanya Mercedes, Aston Martin dan Audi.
Bagaimanapun, ada laporan sebelum ini bahawa Leclerc telah bersetuju dengan perjanjian baharu dengan pasukan Ferrari dengan kontrak sehingga 2026, namun rundingan kontrak berkenana belum bermula.
Perjanjian semasa Leclerc juga akan tamat pada penghujung 2024 dan sekiranya perpindahan itu berlaku, ia akan menjadi lebih mudah berbanding buat Red Bull berbanding mendapatkan Lando Norris yang berbaki kontrak sehingga penghujung 2025 bersama McLaren. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... di-rebutan-pelumba/ |
|