CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3010|Reply: 0

Roslin, Kenny berdamai

[Copy link]
Post time 6-9-2023 04:50 PM | Show all posts |Read mode
Roslin, Kenny berdamai

ROSLIN dan Kenny berjabat tangan selepas kes mereka diselesaikan secara baik hari ini. FOTO Ashraff Hamzah



Kuala Lumpur: Kes saman fitnah Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Goh Chee Keong @ Kenny Goh terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, Muhammad Roslin Hashim diselesaikan secara baik hari ini.

Ia berikutan Muhammad Roslin mengemukakan permohonan maaf kepada Kenny Goh yang dibacakan melalui pernyataan maaf bertulis di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.

Muhammad Roslin ketika membacakan pernyataan maaf itu berkata, beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kerana membuat kenyataan fitnah dan menyinggung Kenny Goh dalam siaran langsung 'Facebook Live' melalui akaun Facebooknya, 'Abe Lin' pada 19 Januari tahun lalu.

Muhammad Roslin berkata, beliau kesal atas kenyataannya yang menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Chee Keong dan sedar kenyataan berkenaan mencalarkan reputasi dan nama baiknya terutama kepada peminat sukan badminton di Malaysia.

"Saya juga sedar saya telah mengaibkan Datuk Kenny Goh Chee Keong melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali," katanya.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu berkata, beliau berharap permohonan maaf itu dapat membersihkan nama baik Kenny Goh serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi antara mereka.

"Saya beraku janji saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa-apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Datuk Kenny Goh Chee Keong," katanya.

Dalam pernyataan tuntutan, Kenny Goh mendakwa, Roslin mengungkapkan kenyataaan fitnah dan menyinggungnya dalam Facebook Live menerusi akaun Facebook Abe Lin yang ditonton ratusan pengikutnya yang turut terdiri daripada pemberita dari pelbagai agensi berita, media cetak, media atas talian dan media sosial.

Menurut plaintif, sebahagian atau bahagian tertentu kenyataan fitnah terhadapnya itu dilaporkan dan diterbitkan semula serta diedarkan kepada pengamal media media.

Beliau berkata, Roslin selaku defendan mengetahui kenyataan itu diterbitkan semula dan diedarkan dan merancang supaya (ia berlaku), tetapi dengan secara sedar tidak mengambi langkah untuk menahannya.

Seterusnya Kenny Goh berkata, kenyataan fitnah terbabit dalam maksud semula jadi atau secara inferen bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan BAM dan perosak persatuan itu.

Beliau berkata, ia juga bermaksud beliau mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap segala transaksi yang berlaku di dalam BAM dan sewenang-wenangnya membuat keputusan mengikut citarasanya sendiri.

"Disebabkan penerbitan kenyataan menyinggung itu, saya mengalami kerosakan amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baik di samping terpaksa mengalami keaiban, dan kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam khususnya peminat badminton tempatan dan antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM1 juta termasuk ganti rugi pampasan, ganti rugi teladan dan ganti rugi tambahan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada menerbitkan kenyataan serupa.

Roz Mawar kemudian merekodkan penghakiman persetujuan kes itu dan melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 5,6,7,11 dan 12 Sept 2023.

"Saya juga mendoakan kejayaan kamu (Roslin), semoga hubungan profesional dan peribadi dapat memulihkan semula kamu, selamat maju jaya," kata hakim itu.

Peguam Datuk Seri Jahabardeen Mohamed Yunoos mewakili Kenny Goh memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Muhammad Roslin mengesahkan perkara itu. Kenny selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Muhammad Roslin pada 28 Mac 2022 mendakwa, Muhammad Roslin mengungkapkan kenyataaan fitnah dan menyinggungnya dalam Facebook Live menerusi akaun Facebook Abe Lin yang ditonton ratusan pengikutnya yang turut terdiri daripada pemberita dari pelbagai agensi berita, media cetak, media atas talian dan media sosial.

Dakwa Kenny, kenyataan fitnah itu bermaksud antaranya beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Setiausaha Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Jurulatih dan Latihan BAM serta perosak persatuan itu.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/arena/ ... slin-kenny-berdamai

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 08:23 AM GMT+8 , Processed in 0.052320 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list