CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2730|Reply: 0

[Perak] 'Mereka hantar saya belajar ke Korea Selatan'

[Copy link]
Post time 20-9-2023 11:35 AM | Show all posts |Read mode

ARISYA Farhana (kanan) bersama ahli keluarganya mengakui bersyukur dibantu YBUDR dan Saarani.

Ipoh: "Program ini besar maknanya kepada saya kerana ia menunjukkan ada pihak memberikan harapan dan percaya kepada kebolehan saya dan rakan daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pendidikan," kata pelajar cemerlang, Arisya Farhana Rosli, 22.

Anak pengawal keselamatan itu melahirkan rasa terharu kerana berpeluang melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di Korea Selatan menerusi program Anak Angkat Menteri Besar Perak.

Arisya Farhana berkata, beliau bersyukur terpilih sebagai salah seorang peserta Program Anak Angkat Menteri Besar Perak sejak di tingkatan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tarcisian Convent, di sini.

Menurutnya, beliau pada awalnya menyangka program bantuan itu berbentuk one off, bagaimana pun program dikawal selia oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) itu sebenarnya bersifat berterusan sehingga kini memasuki tahun kelapan bagi Arisya Farhana.

"Sejak usia saya 14 tahun hingga kini, YBUDR berikan elaun pendidikan bulanan, sumbangan perayaan dan bantuan perubatan kecemasan kepada saya.

"Oleh kerana dahulu keluarga saya tiada kenderaan sendiri, YBUDR juga menghantar kami sekeluarga dari rumah di Ipoh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk saya melanjutkan pelajaran ke Korea.

"Saya terhutang budi kepada YBUDR dan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad yang meneruskan program ini dalam pelan Perak Sejahtera 2030 kerana membantu saya hingga ke tahap ini," katanya.

Kejayaan Program Anak Angkat Menteri Besar Perak yang dijenamakan semula sebagai Anak Angkat Cikgu Saarani itu dibantu Jabatan Pendidikan Negeri Perak yang menjadi peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam segmen 1 Keluarga 1 Ijazah.

Berkongsi kisah perjalanan hidupnya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan semua sembilan subjek A+, beliau berjaya menempatkan diri di kelas persediaan Bahasa Korea di INTEC Education College, Selangor selama setahun.

"Pada awal 2020, saya sekali lagi perlu mengikuti kelas persediaan selama setahun di Seoul National University, Korea Selatan. Itulah kali pertama saya merasa menaiki kapal terbang," katanya.

Berkat usaha berdikari di negara Land of the Morning Calm itu, Arisya Farhana berjaya melanjutkan pengajian Diploma Kejuruteraan Kimia di Dongyang Mirae University, Seoul selama dua tahun.

Tamat Diploma, beliau melanjutkan lagi minatnya dalam bidang kejuruteraan kimia pada peringkat Ijazah Sarjana Muda di Sungkyukwan University, Seoul dan dijadualkan bakal bergraduasi pada awal 2025.

YBUDR adalah agensi Kerajaan Perak yang menfokuskan kepada usaha meningkatkan kualiti pembelajaran dalam kehidupan pelajar daripada keluarga asnaf, miskin tegar, anak yatim serta golongan keterbawahan (B40).

Bantuan yang disalurkan berteraskan bantuan pendidikan bagi membantu pelajar yang berpotensi dalam bidang akademik untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Idea di sebalik pelancaran program itu dicetuskan oleh mantan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada 2010 dan kelangsungannya diteruskan sehingga kini oleh Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, bapa kepada Arisya Farhana, Rosli Ahmad, 51, berkata beliau sangat berterima kasih kepada YBUDR kerana mengambil berat mengenai nasib anaknya sejak di bangku sekolah hingga ke universiti.

"Saya bekerja sebagai pengawal keselamatan sahaja manakala isteri (Shahdattul Irmee Taib, 44) suri rumah sepenuh masa.

"Saya masih ingat ada satu masa, kami hadapi kesulitan kewangan pada musim persekolahan baru dibuka, YBUDR muncul membantu membiayai keperluan persekolahan Arisya ketika itu dengan menyelesaikan pembayaran yuran dan pembelian buku.

"Oleh sebab itu, saya juga berpesan kepada Arisya supaya kembali ke Malaysia dan bantulah menyumbang kepada orang lain yang memerlukan sebagaimana YBUDR pernah menolong kami sekeluarga," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ar-ke-korea-selatan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

6-5-2024 11:02 PM GMT+8 , Processed in 0.055310 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list