CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4713|Reply: 0

Akibat fanatisme jahiliyah tolak kebenaran

[Copy link]
Post time 10-11-2023 08:30 AM | Show all posts |Read mode
Akibat fanatisme jahiliyah tolak kebenaran


MANUSIA memerlukan aturan syariat supaya lebih mudah dikendali daripada dibiarkan tanpa bimbingan dan panduan.


Kehidupan 'jahiliyah' akan terus membelenggu kehidupan manusia dari dahulu sehinggalah sekarang, bahkan pada masa akan datang sekiranya tidak dibendung dengan kefahaman sebenar.

Masyarakat Islam yang hidup di zaman moden dan serba canggih turut secara tidak sedar masih melakukan amalan 'jahiliyah' disebabkan tidak mengenal konsep dan ciri jahiliyah dengan jelas.

Sejarah mencatatkan Nabi SAW telah berjaya mengikis jahiliyah dalam masyarakat berdasarkan petunjuk wahyu, namun kini dilihat seolah-olah kembali terjadi semula atas nama perjuangan 'Hak Asasi Manusia', liberalisme, sekularisme dan sejenisnya dinyatakan sebagai peradaban moden.

Istilah jahiliyah merujuk keadaan masyarakat Arab sebelum diutus Nabi SAW untuk menggambarkan kebodohan serta pelbagai perkara buruk yang jauh dari pedoman ketuhanan dan menodai nilai kemanusiaan.

Allah SWT telah menisbahkan empat perkara kepada perkataan jahiliyah di dalam al-Quran. Terdapat dua jenis jahiliyah yang berkaitan dengan masalah hati dan dua jenis lagi berkaitan dengan amalan luaran.

Pertama, 'dzan jahiliyah' bermaksud prasangka jahiliyah iaitu sangka buruk kepada Allah SWT yang merupakan lambang kerosakan hati dan akidah dalam masyarakat Islam.

Firman Allah SWT: "…sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: Adakah bagi kita sesuatu bahagian daripada pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?…" (Surah Ali 'Imran: 154)

Ayat di atas menceritakan berkaitan peristiwa perang Uhud ketika pasukan kaum Muslimin mula terdesak kerana menerima tekanan dari hadapan dan belakang. Namun, Allah SWT memberikan ketenangan kepada para sahabat sehingga dibuat mengantuk.

Sebaliknya, berbeza dengan orang munafik yang terlibat dalam pertempuran tersebut berasa sangat cemas dan takut sehingga muncul tanggapan tidak benar dan negatif bahawa Allah SWT berdusta, Nabi SAW memberi janji palsu dan agama Islam akan musnah.

Kedua, 'hamiyyah al-jahiliyah' bermaksud kesombongan atau fanatisme jahiliyah. Cinta dan benci kerana golongan tertentu iaitu memberikan pembelaan berasaskan kepentingan golongan sehingga rela menolak kebenaran demi golongan.

Fanatisme terhadap sesuatu yang tidak maksum, adalah sumber terbesar manusia menolak kebenaran. Fanatik terhadap golongan atau rela mati demi golongan, walaupun jelas salah adalah termasuk karakter atau ciri orang kafir.

Firman Allah SWT: "Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang Mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya." (Surah al-Fath: 26)

Ayat di atas menceritakan tentang perjanjian Hudaibiyah yang merupakan awal kemenangan bagi kaum Muslimin. Meskipun terdapat banyak perkara ganjil yang dilakukan orang musyrikin ketika perjanjian Hudaibiyah seperti tidak mahu menuliskan lafaz 'basmallah' dalam klausa perjanjian dan menolak penggunaan kalimat 'Muhammad Rasulullah', sedangkan itu adalah kebenaran tetapi ditolak kerana fanatik jahiliyah yang membuatkan membenci kebenaran. (Tafsir Ibn Kathir)

Oleh itu, fanatisme jahiliyah menyebabkan golongan musyrikin bersikap sombong dan menolak setiap kebenaran yang bertentangan dengan prinsip suku dan golongannya.

Sementara, orang Mukmin pula dididik oleh Allah SWT agar fanatisme dibina atas dasar membela kebenaran yang diajarkan dalam Islam untuk membela kalimah tauhid yang disebut dalam ayat tersebut dengan kalimah 'takwa'.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menghilangkan dari hati kalian sifat kesombongan jahiliyah dan kebanggaan terhadap nenek moyang. Manusia hanya ada dua jenis, Mukmin bertakwa atau orang bejat yang celaka. Semua manusia adalah anak Adam dan Adam diciptakan dari tanah." (Riwayat Ahmad, no.8970; Abu Daud, no.5118)

Ketiga, 'hukum al-jahiliyah' iaitu setiap aturan melanggar syariat yang akan mengakibatkan kerosakan dalam masyarakat. Sekiranya manusia dibiarkan membuat aturan sendiri dengan akal dan daya fikir yang terbatas, pastinya akan wujud kezaliman dan ketempangan.

Oleh itu, manusia memerlukan aturan syariat supaya lebih dikendali dari dibiarkan tanpa bimbingan dan panduan. Manusia diciptakan oleh Allah SWT, maka sudah tentu pencipta mengetahui kekurangan dan kelemahan yang wujud pada manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apakah mereka mahu mencari hukum jahiliyah, siapa yang lebih baik hukumnya bagi orang yang yakin? (Surah al-Maidah: 50)

Ayat di atas menunjukkan Allah SWT menyindir dan menegur manusia yang meninggalkan aturan yang telah ditetapkan dengan mengutamakan aturan yang dibuat manusia, sedangkan terdapat banyak pelanggaran terhadap hukum Allah.

Keempat, 'tabarruj al-jahiliyah' bermaksud perhiasan jahiliyah iaitu mempamerkan keindahan tubuh di tengah masyarakat yang sekali gus menandakan lambang kerosakan wanita.

Sekiranya para wanita dibiarkan bebas tanpa batasan, tidak dijaga kehormatan serta harga diri, mendedahkan aurat di khalayak ramai dan sebagainya, maka maksiat dan gejala negatif akan berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu, dan dirikanlah solat." (Surah al-Ahzab: 33)

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menjelaskan maksud 'tabarruj jahiliyah' adalah wanita keluar rumah sambil berjalan menampakkan kecantikan dan keelokan tubuh badan di hadapan lelaki. Sementara suami di zaman jahiliyah terkenal kurang sifat cemburu.

Sementara, Syaikh Abdul al-Rahman al-Sa'di pula dalam kitab tafsirnya menjelaskan ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan para wanita untuk tinggal di rumah dan melarang untuk bertabarruj kerana sifat wanita yang suka keluar rumah akan berusaha tampil menawan, cantik, menarik, wangi dan sebagainya merupakan hakikat 'tabarruj'.

Demikianlah, empat jenis jahiliyah yang sering mewarnai pemikiran dan corak kehidupan manusia dari dahulu sehingga kini yang perlu disedari dan dibanteras dengan panduan Islam.

Perlu ditegaskan jahiliyah adalah sumber penyakit dan kehinaan yang pastinya akan merosakkan dan membinasakan sesuatu masyarakat.

Saidina Umar al-Khatab pernah menegaskan ikatan Islam yang kukuh akan terungkai satu demi satu apabila umat Islam tidak mengenal apakah itu jahiliyah.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... yah-tolak-kebenaran

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 09:58 PM GMT+8 , Processed in 0.054928 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list