Edited by JoyahMengayah at 12-11-2023 06:23 AM
ALOR SETAR – Kehadiran pelancong ke Langkawi yang semakin merosot sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan industri kedai makan dan kereta sewa di pulau itu mengalami kerugian banyak didorong oleh tindakan orang ramai yang lebih memilih Hatyai di Thailand sebagai destinasi percutian.
Malah, faktor harga makanan dan penginapan yang lebih murah di selatan Thailand turut menarik minat pelancong antarabangsa untuk memilih lokasi itu berbanding Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, banyak sebenarnya tarikan ditawarkan di negara jiran itu termasuk perjalanan ke sana yang jauh lebih mudah.
“Mungkin ramai yang tidak mahu ke Langkawi disebabkan isu kekurangan trip feri dan ada yang takut apabila dimomokkan dengan harga makanan mahal.
“Sebenarnya, banyak kedai makan yang menawarkan harga berpatutan. Isu-isu atau dakwaan yang diviralkan kononnya kedai di Langkawi jual makanan cekik darah perlu diperbetulkan, mesti ada pihak yang menjelaskan isu ini kerana ia tidak menggambarkan keseluruhan peniaga di sini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, persepsi buruk kepada Langkawi juga perlu diperbetulkan semula selain pihak yang terlibat tampil dengan pakej serta tarikan baharu dari semasa ke semasa.
Zainudin juga mendakwa, semakin ramai pengusaha makanan di pulau peranginan itu ‘bungkus’, manakala pemilik kereta sewa pula bertindak melelong kenderaan mereka kerana tidak mahu menanggung hutang bank ekoran kemerosotan pelancong ke Langkawi sejak kebelakangan ini.
Beliau menyifatkan Langkawi juga bakal bergelar ‘pekan hantu’ jika tiada langkah drastik daripada pihak kerajaan.
Zainudin berkata, bukti terbaharu apabila tempahan hotel di pulau peranginan negara itu sepanjang cuti Deepavali minggu depan hanya mencapai kadar 10 peratus bagi hotel tiga bintang ke bawah yang disifatkan terburuk berbanding tahun sebelum ini.
“Semakin ramai pengusaha terlibat dalam sektor ini terjejas. Sebagai contoh, sepanjang Oktober, sebanyak 31 daripada 163 pengusaha kedai makan atau restoran yang berdaftar dengan LTA sudah gulung tikar. Masing-masing sudah menjual perkakasan kedai mereka. Jumlah ini akan meningkat lagi jika tiada langkah proaktif daripada pihak terlibat.
“Minggu depan, cuti Deepavali dan sehingga hari ini tempahan hotel hanya 10 peratus untuk hotel bertaraf tiga bintang. Berbanding dengan tahun lepas, tahun ini paling teruk dan kerugian dijangka 58 peratus,” katanya lagi.
Tambah beliau, kebergantungan orang Langkawi kepada pelancong domestik sebelum ini mengakibatkan kemerosotan industri itu apabila pulau berkenaan tidak lagi menjadi pusat percutian popular.
“Langkawi akan jadi ‘pekan hantu’ lagi seperti pandemik Covid-19 dahulu. Isu utama, tidak ada promosi khusus untuk memeriahkan semula Langkawi. Jadi Langkawi kini sudah hilang tarikan untuk menjadi tarikan utama walaupun kepada pelancong domestik.
“Orang Langkawi tidak akan makan di luar lagi, jadi pengusaha terlibat hanya bergantung kepada pelancong jadi bila tidak ada pelancong memang bungkus semua. Pengusaha kereta sewa banyak mengeluh kerana mereka terpaksa melelong kereta,” katanya.
Justeru katanya, LTA berharap kerajaan negeri dan Persekutuan dapat duduk semeja untuk mencapai titik persamaan yang baik demi pelancongan di Langkawi.
|