Edited by JoyahMengayah at 17-11-2023 04:41 AM
PETALING JAYA – “Betul suami saya tak sihat, doakan ya.”
Demikian penjelasan Ina Naim iaitu isteri kepada bekas anggota kumpulan In-Team, Suhaimi Saad mengenai keadaan suaminya yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di Johor Bahru.
Menurut ibu kepada empat anak itu, sebarang perkembangan akan dikongsikan memandang dia sedang sibuk menguruskan sesuatu.
“Nanti saya maklumkan,” luahnya ringkas ketika dihubungi JKosmo! Online sebentar tadi.
Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd. Naim, juga tidak mengesahkan sama ada Suhaimi, 43, ditidurkan seperti dikongsikan rakan seperjuangan yang juga ketua kumpulan In-Team, Mohd. Syahril Abdul Khalid.
Mohd. Syahril yang melawat penyanyi itu pada Sabtu lalu menyatakan Suhaimi ditidurkan ketika ditemu bual media.
Katanya, tahap kesihatan rakannya itu mula menurun sejak beberapa bulan lalu sehingga berat badannya menyusut.
Pada masa sama, dia juga kurang pasti penyakit yang dihidapi Suhaimi, namun meminta orang ramai menitipkan doa agar kesihatannya kembali pulih.
Sejak semalam tular dalam laman sosial mengenai keadaan kesihatan penyanyi sensasi itu yang dikatakan sudah dibawa keluarga mentuanya pulang ke Johor bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, penyanyi yang sudah berhijrah ke Kelantan itu menghidap penyakit kronik namun pemilik akaun yang menguar-uarkan khabar tersebut tidak mendedahkan butiran lanjut.
Suhaimi, 43, yang bersama In-Team selama lima tahun bermula pada 2000 itu pernah mengejutkan ramai apabila mengumumkan ingin bersara sebagai penyanyi nasyid selain enggan dipanggil ustaz.
|