View: 3391|Reply: 0
|
Sarah Adi ‘berguru’ di Eropah, Australia?
[Copy link]
|
|
SARAH menganggap tahun ini banyak memberikan pengajaran bermakna buat dirinya walaupun berjaya mencipta rekod peribadi baharu.
RATU lompat bergalah Malaysia, Nor Sarah Adi tidak sabar untuk merasai pengalaman pertama menjalani kem latihan di luar negara pada tahun depan dalam misi memadam rekod kebangsaan milik jurulatihnya, Roslinda Samsu.
Sarah, 23, mengakui, tidak gembira dengan saingan tahun ini kerana terlepas banyak kejohanan disebabkan perlu menjalani rehab ekoran kecederaan buku lali kanan biarpun berjaya memperbaharui rekod peribadinya 4.05 meter (m).
Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021 itu bersyukur kerana pelbagai dugaan dan cabaran dialaminya sepanjang tahun ini menyedarkannya terhadap apa yang perlu dilakukan untuk lebih berjaya pada masa depan.
Disebabkan itu, Sarah menganggap latihan pusat di luar negara sama ada di Eropah terutamanya Itali atau Australia, dapat membantunya lebih ‘memahami’ kesemua galah yang dimilikinya ketika ini.
“Saya tak pernah lagi berlatih di luar negara. Cumanya tahun lepas saya ada banyak sangat kejohanan di luar negara dan ia sangat bagus kerana boleh lihat peningkatan prestasi saya.
SARAH ADI (kanan) meraih pingat emas Grand Final Kejohanan VTF 2023 di Arena UM kelmarin. – FB SUKAN IPT
“Malangnya tahun ini saya banyak ‘skip‘ sebab saya cedera. Namun, saya masih dapat buat catatan peribadi baharu di Sukan SEA Kemboja tetapi saya kurang berpuas hati kerana masih banyak yang tak menjadi tahun ini.
“Jurulatih dan pengarah teknikal (Robert Ballard) kata mungkin ada kem latihan di luar negara, cumanya masih tak tahu tarikh dan tempat. Jadi tahun depan saya ada setahun untuk bersiap sedia ke Sukan SEA Thailand 2025,” katanya ketika ditemui Kosmo! kelmarin.
Jika diberikan peluang menjalani kem latihan di luar negara, Sarah percaya tidak mustahil untuk dia cuba memecahkan rekod kebangsaan milik Roslinda yang melakukan 4.40m di Mataro, Sepanyol pada 10 Julai 2006.
Sebagai rekod, Sarah yang mewakili Universiti Putra Malaysia menutup saingannya tahun ini dengan kejayaan pingat emas Grand Final Kejohanan Varsiti Track & Field (VTF) 2023 di Arena Universiti Malaya kelmarin.
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... i-eropah-australia/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|