CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2169|Reply: 0

Waspada akidah tuhan mempunyai jisim

[Copy link]
Post time 26-11-2023 10:56 AM | Show all posts |Read mode
Waspada akidah tuhan mempunyai jisim


MAJORITI umat Islam di alam Melayu berpegang pada aliran akidah al-Asya‘irah dan al-Maturidiyyah.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu pada Ogos lalu memutuskan bahawa ajaran seorang lelaki Syria di negeri terbabit yang cukup aktif di media sosial sebagai sesat lagi menyesatkan dan bercanggah dengan akidah Islam yang diyakini oleh ulama Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah. Ini disebabkan pelbagai ciri penyelewengan, antaranya memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk serta menyesatkan akidah majoriti ulama Islam  yang berpegang dengan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah.

Lelaki terbabit sering mendakwa mengikut ajaran Salaf dan menyeru orang lain mengikutinya. Bagaimanapun, tafsiran ajaran Salaf yang dimaksudkan adalah berbeza dengan tafsiran sebenar ulama ASWJ. Antara kitab yang diajarkan olehnya ialah kitab Naqdhu 'Uthman bin Sa'id 'ala al-Marisi al-Jahmi al-'Anid atau an-Naqdhu 'ala Bisyr al-Marisi yang dinisbahkan kepada 'Uthman bin Sa'id ad-Darimi (wafat 280H).   

Terdapat sebuah lagi kitab yang dinisbahkan kepada ad-Darimi iaitu kitab ar-Radd 'ala al-Jahmiyyah. Kedua-dua kitab ini cukup berbahaya kepada akidah umat Islam kerana mengandungi unsur fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah yang meyakini Allah SWT itu berjisim, bersaiz dan berimej. Meskipun kedua-duanya kitab akidah, namun ada banyak hadis dan athar yang daif, munkar, sangat lemah dan palsu yang bertentangan dengan akidah tanzih (menyucikan Allah daripada tasybih dan tajsim). Misalnya, dinyatakan 'Arasy berbunyi kerana beban berat Allah di atasnya, syurga 'Adn sebagai tempat tinggal Allah, Allah boleh turun naik antara 'Arasy dan kursi-Nya, menetapkan sifat bergerak, tempat, had dan sudut bagi-Nya, Allah duduk di atas 'Arasy hingga penuh kecuali ruang seluas empat jari, Allah berkuasa untuk bersemayam di atas belakang nyamuk, menetapkan orang yang berada di atas menara lebih hampir dengan Allah berbanding yang di bawah, dan lain-lain yang tidak berlandaskan dalil yang kukuh.

Anehnya, dua kitab ini cukup diagungkan oleh Syeikh Ibn Taimiyyah (wafat ‏728H), malah diwasiatkan supaya ‎dipegang sebagai asas akidah tauhid (Lihat Ijtima' al-Juyusy al-Islamiyyah oleh Ibn al-‎Qayyim, hlm. 143). Bagaimanapun, Imam az-Zahabi yang sedar mengenai masalah ini mengkritik (Lihat al-'Uluw, hlm. 194) katanya: ‎"Terdapat dalam kitabnya berbagai perbahasan yang ajaib terhadap al-Marisi, yang berlebih-lebihan dalam hal ithbat (menyabitkan sifat Allah), sedangkan diam daripadanya itu lebih sesuai dengan manhaj Salaf pada masa dahulu dan kini."


Secara ilmiah, kita hakikatnya belum pasti sejauh mana benarnya nisbah kedua-dua kitab ini kepada ad-Darimi. Ini kerana kedua-duanya diriwayatkan dengan sanad yang lemah, melalui beberapa perawi majhul (tidak diketahui kelayakannya) seperti Muhammad bin Ahmad bin al-Fadhl, Abu Ruh al-Azdi, Muhammad bin Ishaq al-Qurasyi dan Muhammad bin Ibrahim as-Shuram. Maka, bagaimana kedudukan kitab sebegini layak untuk dijadikan pegangan akidah umat Islam yang sepatutnya dibina atas landasan yang jelas dan mutawatir?

Tambah mencurigakan, kedua-dua kitab ini tidak disebutkan oleh ulama mutaqaddimin dan hanya disebut oleh ulama mutaakhirin sahaja, terutama apabila disebut oleh Syeikh Ibn Taimiyyah, diikuti oleh al-Mizzi (wafat 742H) dalam Tahzib al-Kamal, az-Zahabi (wafat ‏748H) dalam Tarikh al-Islam, Ibn al-‎Qayyim (wafat ‏751H) dalam Ijtima' al-Juyusy al-Islamiyyah, as-Safadi (wafat ‏764‏H) dalam al-Wafi bil Wafayat dan Tajuddin as-Subki (wafat ‏771H) dalam Tabaqat as-Syafi'iyyah al-Kubra.

Unsur fahaman tasybih dan tajsim yang terkandung dalam kedua-dua kitab ini jelas menyalahi manhaj akidah Salaf yang sebenar. Kemungkinan besar ia adalah daripada susunan puak Mujassimah Musyabbihah atau disisipkan mereka ke dalamnya. Ini kerana wilayah tempat ad-Darimi tinggal iaitu Sijistan pada masa dahulu cukup kuat dengan fahaman puak terbabit yang dipelopori Muhammad bin Karram as-Sijzi (meninggal dunia ‏255H), pemimpin Karramiyyah. ad-Darimi antara yang bangkit menentang Muhammad bin Karram dan pengikutnya, namun mereka berjaya mengusirnya keluar dari Harat, Sijistan. ‎Seorang tokoh hadis terkenal, Imam Ibn Hibban (wafat 354H) juga pernah diusir keluar dari Sijistan kerana beliau mengingkari had bagi Allah SWT.

Antara bukti berlaku campur tangan luar dalam kedua-dua kitab ini ialah terdapat ibarat yang menunjukkan ad-Darimi berfahaman tafwidh dan menafikan sifat Allah SWT beranggota dan berjuzuk. Aspek ini amat tidak selari dengan unsur tasybih dan tajsim yang terdapat dalam kitabnya. Jika diandaikan sabit semua percanggahan itu daripada beliau sekali pun, maka ia adalah manhaj akidah yang keliru dan perlu ditolak. Akidah yang mempercayai Tuhan berjisim atau berimej adalah fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah walau daripada tokoh mana pun datangnya.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)


Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... han-mempunyai-jisim


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 11:48 PM GMT+8 , Processed in 0.079147 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list