CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4563|Reply: 0

Pemerintahan 40 hari sebagai penguasa dunia

[Copy link]
Post time 5-12-2023 09:41 AM | Show all posts |Read mode
Pemerintahan 40 hari sebagai penguasa dunia


UMAT Islam diminta mempersiapkan diri untuk menghadapi fitnah Dajjal. FOTO Arkib NSTP


Dajjal akan menguasai dunia dan penguasaan berkenaan sebagai antara tanda-tanda pengakhiran kepada hayat dunia ini.

Umum mengetahui bahawa kemunculan Dajjal antara tanda besar kiamat dan umat akhir zaman atau kita semua akan melalui episod berkenaan sehinggalah kepada pengakhirannya.

Rasulullah SAW berkali-kali memperingatkan umatnya agar mempersiapkan diri untuk menghadapai fitnah Dajjal.

Kedatangan Dajjal umpama sang penguasa dunia. Disambut dengan puluhan ribu pengikut yang setia.

Al-Hafiz Ibn Kathir berkata: "Dajjal muncul kali pertama sebagai seorang pemerintah yang kejam, ia kemudian mengaku seorang nabi, lalu mengaku sebagai Tuhan.

"Dajjal keluar dari kota Isfahan (Iran) dari perkampungan Yahudi. Lalu ia diikuti 70,000 Yahudi bersenjata lengkap. Jumlah pengikutnya semakin ramai selepas 70,000 tentera Monggol (Tatar) dan penduduk Khurasan bergabung dalam barisannya. Setelah itu, orang jahil dan jahat daripada kalangan orang awam mula menyertai tenteranya.

"Kekuasaan Dajjal merebak ke seluruh kota besar dunia dengan sangat cepat. Tiada yang terselamat daripada tentera selain Makkah dan Madinah. Seluruh dunia pada masa itu diselubungi ketakutan."

Rasulullah SAW bersabda: "Semua manusia akan melarikan diri daripada Dajjal ke puncak-puncak gunung." (Hadis Riwayat Muslim)

Dajjal memiliki kemampuan hebat untuk menipu manusia. Digambarkan ia mampu menghidupkan orang mati, menurunkan hujan, menumbuhkan tanaman, membawa makanan dan minuman kepada orang sedang kelaparan dan lainnya.

Manusia yang menyahut seruannya akan hidup dalam kebahagiaan dan kenikmatan manakala yang menentangnya berada dalam kesengsaraan dan kesempitan. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang mempercayai dan mengikutinya maka tidak berguna amal ibadat yang dia lakukan sebelum itu. Sesiapa yang mendustakannya maka dia tidak akan diseksa dengan amal perbuatannya sebelum itu." (Hadis Riwayat Ibn Khuzaimah)

Namun kekuasaan Dajjal tidak akan berterusan di bumi Allah. Nabi Isa diutuskan kembali ke dunia yang akan membawa keadilan seterusnya memusnahkan Dajjal.

Untuk membezakan susuk tubuh Dajjal dan Nabi Isa, Nabi SAW mengambarkan mereka menerusi beberapa hadis berkaitan fizikal mereka. Susuk fizikal Dajjal sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya aku memperingatkan kamu tentangnya. Tiada seorang nabi melainkan ia akan memperingatkan kaumnya tentang Dajjal. Nuh memperingatkan kaumnya. Akan tetapi aku akan memberitahu kamu sesuatu yang tidak disampaikan seorang nabi sebelumku. Sesungguhnya Dajjal itu bermata satu dan Allah SWT tidak bermata satu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Gambaran kepada Nabi Isa pula sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Aku berjumpa dengan Isa. Beliau berperawakan sederhana (tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah), warna kulitnya putih kemerah-merahan seolah-olah baru sahaja keluar dari bilik mandi wap." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Allah memberi gambaran kepada manusia akhir zaman menerusi Nabi SAW bagaimana membezakan di antara ikutan yang hak dan batil. Keluarnya Dajjal dan terutusnya kembali Nabi Isa dengan tujuan dan tugasan yang tertentu.

Dajjal ada tugasan besar membawa manusia ke arah kesesatan dan penipuan. Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Dia (Dajjal) membawa bersamanya air dan api. Hakikatnya apinya adalah air yang sejuk dan airnya ialah api." (Hadis Riwayat Bukhari)

Tugas Nabi Isa pula mengembalikan manusia ke arah kebenaran iaitu keadilan dan tauhid kepada Allah SWT. Baginda Nabi SAW bersabda: "Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh sudah hampir tiba masanya Isa putera Maryam turun kepadamu sebagai pemimpin adil. Beliau akan mematahkan salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan mengagihkan harta hingga tiada seorang pun menerimanya. Sehingga satu sujud lebih baik daripada dunia dan seisinya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika dilihat, tampak jelas tugasan dilaksanakan Nabi Isa iaitu membersihkan segala kotoran dibuat dan sisa peninggalan Dajjal dalam hati manusia pada saat tersebut.

Apabil Dajjal menguasai dunia, Allah SWT mengutuskan kembali Nabi Isa yang turun dengan diiringi malaikat. Baginda turun di Menara Putih sebelah timur Masjid Umawi di Damsyik setelah fajar menyingsing. Sejurus selepas iqamah solat Subuh dikumandangkan. Ketika itu, Muslimin berbaris untuk melaksana solat Subuh berjemaah. Imam mereka, seorang lelaki soleh maju ke hadapan untuk bertakbir. Lalu beliau berundur untuk mempersilakan Nabi Isa menjadi imam.

Namun Nabi Isa menolak dengan penuh tawaduk sambil menepuk bahu orang ini dan bersabda: "Solat ini diiqamatkan untukmu." Lalu Nabi Isa bersolat bersama mereka sebagai makmum.

Rasulullah SAW bersabda: "Bagaimanakah kamu apabila turun putera Maryam kepadamu dan imammu berasal daripada kalangan kamu sendiri?" (Hadis Riwayat Bukhari)

Walaupun tempoh pemerintahan Dajjal hanya dalam masa 40 hari, pengaruhnya cukup meluas sehingga ramai manusia menjadi pengikut setianya. Digambarkan hari pertama panjangnya seperti setahun, hari kedua seperti sebulan, hari ketiga bagaikan seminggu manakala hari berikutnya seperti hari biasa.

Pasukan Muslimin pada ketika itu tersangat sedikit bilangannya bagi memerangi Dajjal. Akhirnya mereka berundur dan terkepung di Syam sehingga turunnya Nabi Isa. Tempoh berkuasa Nabi Isa pula tujuh tahun dengan tugasan membunuh Dajjal dan mengembalikan keharmonian kepada dunia. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Ketika musuh Allah melihat Nabi Isa, ia mencair bagaikan cairnya garam di dalam air. Jika dibiarkan, ia terus mencair hingga binasa. Namun Allah (telah menentukan) untuk Nabi Isa membunuhnya. Lalu baginda memperlihatkan darah Dajjal di hujung tombaknya." (Hadis Riwayat Muslim)

Dajjal akhirnya dibunuh dengan tangan Nabi Isa sendiri di gerbang kota Lud. Kemudian Nabi Isa menjadi pemimpin dunia yang adil dengan syariat Nabi Muhammad SAW. Baginda memimpin solat berjemaah, melakukan ibadah puasa, ibadah haji di Makkah dan juga akan berkahwin dan berkeluarga kelak.

Penulis wartawan Harian Metro

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... agai-penguasa-dunia

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 01:46 AM GMT+8 , Processed in 0.064089 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list