CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4592|Reply: 0

Sabar, berdoa agar segala ujian peroleh ganjaran-Nya

[Copy link]
Post time 5-12-2023 09:42 AM | Show all posts |Read mode
Sabar, berdoa agar segala ujian peroleh ganjaran-Nya

KITA perlu sentiasa bersabar atas segala ujian-Nya. FOTO Arkib Reuters


Tiada seorang pun yang inginkan diuji dengan musibah. Malah, siang dan malam kita akan memanjangkan doa kepada Allah semoga sentiasa dalam aman dan sejahtera.

Namun, hidup manusia di dunia ini pastinya tidak akan terlepas daripada ujian dan cubaan, ibarat pusingan roda serta bak pertukaran waktu siang dan malam.

Abu Al-Faraj Ibnu Al-Jauzi meninggalkan petua bagaimana kita dapat berhadapan dengan ujian Allah. Antaranya beliau berkata, bahawa kita hendaklah menyedari yang dunia adalah tempat ujian dan kesusahan dan bukan tempat untuk bersenang-senang.Sebenarnya hal ini yang selalu kita lupakan kerana sering di fikiran bahawa kita akan tinggal lama di dunia ini, lantas kita jarang sangat memikirkan mengenai kematian.

Selagi kita bernyawa, selagi itu pelbagai ujian Allah hidangkan buat kita dengan harapan kita sentiasa mengingatkan-Nya. Sentiasa berdoa dengan mendekatkan diri kepada-Nya menerusi amal ibadah dan amalan kebaikan lain.

Ujian juga adalah mekanisme Allah mendidik jiwa kita supaya tidak mudah terbabas dalam gaya hidup yang bertentangan dengan kehendak agama. Namun, seandainya kita belum dapat membaca isyarat Allah menerusi musibah yang dikenakan kepada Allah bermakna hati kita masih kabur.

Saidina Ali bin Abi Talib, menantu kesayangan Rasulullah SAW pernah berwasiat dengan satu pesanan yang amat bermakna buat kita yang mana katanya: "Lebih baik kita diuji sewaktu hidup di atas muka bumi ini, berbanding ujian yang dikenakan di akhirat kerana seberat mana pun ujian di dunia, ia akan berakhir, akan tetapi jika diuji dengan kesusahan di akhirat, ia terlalu dahsyat untuk ditanggung."

Jadi, kita usah cepat berputus asa dan berkeluh kesah apabila dikenakan ujian dalam kehidupan sebaliknya kita perlu menerapkan nilai sabar sambil berdoa supaya ujian musibah itu berakhir. Setiap kesukaran di dunia ada pengakhirannya.

Selain itu, ketika musibah menimpa diri mahupun terhadap ahli keluarga, kita seharus berkeyakinan penuh bahawa setiap apa yang berlaku sudah ditentukan oleh-Nya. Ini petua kedua yang disampaikan Abu Al-Faraj. Namun begitu, jangan pula sampai kita menyalahkan Tuhan dengan takdir yang kurang baik, sebaliknya kita perlu reda serta beranggapan bahawa Allah sayangkan kita dan mungkin untuk meminta kita memperbaiki tatacara hidup yang baik berlandaskan kehendak agama yang sebenar.

Saidina Ali begitu tajam pemikirannya dalam memahami mengapa turunnya sesuatu musibah ke atas diri manusia. Beliau tidak melihat musibah itu pada sisi pandang yang negatif, sebaliknya sentiasa mengkajinya secara mendalam menggunakan pandangan mata hati yang murni. Kata beliau: "Apabila kita terjerumus ke jalan yang salah, Allah menciptakan sesuatu supaya kita sedar tentang kesilapan kita, bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. Kalau tidak hidup kita susah, sempit dan kita jadi hina di dunia dan akhirat. Allah sayangkan kita dan mahu menyelamatkan kita daripada segala kesengsaraan hidup di dunia dan akhirat."

Allah memandu kita bagaimana menangani musibah dalam kehidupan dengan kaedah yang tepat lagi berpahala di sisi-Nya. Pesan Allah: "(iaitu) orang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, innaa lilaahi wa innaa ilaihi rajiuun" - (Surah al-Baqarah ayat 156). Dengan mengamalkan bacaan ini akan menyedarkan kita kekuasaan Allah dan menjadikan hati kita sentiasa ingat pada-Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang dan atas sifat-Nya itulah Allah melakukan apa sahaja ke atas hamba-Nya.

Namun, perlu kita insafi bahawa semua yang Allah takdirkan untuk kita ada kebaikannya dan Dia akan menguji hanya ke tahap yang kita mampu pikul. Sekiranya Allah lakukan lebih daripada itu bermakna Allah itu zalim, sedangkan Allah tidak zalim sebaliknya Maha Penyayang sebagai dikatakan Allah sendiri, "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah al-Baqarah ayat 286)

Allah meminta kita yang mengalami musibah supaya banyak bersabar dan hakikat ini jelas sekali kerana dalam al-Quran terakam lebih 70 kali kata sabar diulangkan.

Lihat bagaimana nilai sabar diterap begitu mantap oleh Rasulullah dan sahabatnya dulu meskipun nyawa berada di hujung kepala, namun mereka tetap bersabar dengan apa yang ditakddirkan Allah.

Kata Abu Al-Faraj seterusnya: "Hendaklah orang yang terkena musibah itu melihat kepada musibah yang lebih besar yang pernah menimpa kepada orang lain selain dirinya."

Hal ini penting kerana ketika kita ditimpa sesuatu musibah, kita hanya memikirkan nasib diri kita dan berasa seolah-olah ujian yang Allah timpakan itu tidak ada pada insan lain.

Lihat di sekeliling kita, sudah tentu kita akan ketemu dengan aneka manusia yang mengalami nasib yang lebih dahsyat daripada yang kita hadapi.

Misalnya sekiranya kita kehilangan seorang anak kesayangan yang meninggal akibat kemalangan di jalan raya, maka sudah pasti sesiapa sahaja bersedih hiba dan menangis. Ini lumrah dan fitrah manusia. Sedangkan Rasulullah sendiri tidak dapat menahan sebak hatinya sehingga menitiskan air mata tatkala putera kesayangannya, Ibrahim meninggal dunia.

Namun, apa yang perlu kita renungkan pula bagaimana kesedihan ibu bapa yang kehilangan anaknya serentak sampai meragut nyawa dua atau tiga orang dalam satu kemalangan. Tentu musibah mereka lebih berat untuk ditanggung.

Begitu analoginya supaya hati kita sedikit terhibur meskipun terkena musibah.

Petua Abu Al-Faraj yang keempat ialah supaya kita berdoa kepada Allah supaya Allah mengurniakan ganti yang lebih baik sekiranya yang sesuatu yang hilang itu boleh mendapat gantinya.

Dan yang terpenting ialah iaitu petuanya yang kelima yang menasihatkan kita supaya berdoa kepada Allah segala musibah yang sedang dialami mendapat ganjaran pahala daripada-Nya. Tetapi, kita perlu ingat prasyarat untuk menjadikan sesuatu musibah itu berpahala di sisi Allah, kita hendak sentiasa bersabar atas segala ujian-Nya.

Begitu lima pesanan bagaimana kita mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan sesuatu musibah dan ujian daripada Allah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah



Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... eroleh-ganjaran-nya

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 10:23 PM GMT+8 , Processed in 0.097263 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list