Edited by pengecattaik at 23-12-2023 09:08 AM
TIMBALAN Pengerusi Majlis Ulama Umno, Datuk Khairuddin Aman Razali memetik hadis yang menyebut mengenai dosa besar bagi individu menggelar Muslim lain sebagai munafik.
Beliau merujuk kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan Pakatan Harapan (PH) dengan golongan munafik zaman Rasul SAW.
“Gelar-menggelar sesama Muslim dengan gelaran munafik dan fasik jelas merupakan dosa besar sebagaimana disebut oleh Ibnu Hajar al-Haitami (909-974 H) dalam al-Zawajir ‘an iqtiraf al-Kaba’ir.
“Begitu juga kata Qatadah (hidup 21-104 H): janganlah kamu berkata kepada saudaramu yang Muslim; orang itu fasik, orang itu munafik.
“Saya menyarankan presiden PAS kembali merujuk buku tafsir Surah al-Hujurat yang beliau hasilkan dan menjadi sukatan usrah PAS,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Kelmarin Abdul Hadi menerusi artikel Minda Presiden PAS mendakwa kerajaan khususnya PH, bersikap munafik dengan mengguna pakai konsep demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Hamas di Palestin.
Abdul Hadi membandingkan PKR dengan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menurutnya sebuah kumpulan minoriti yang diberi hak menubuhkan kerajaan dan menjadi boneka Israel dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Khairuddin yang juga bekas setiausaha Dewan Ulama PAS berkata perbuatan PAS mencipta persepsi adalah perangai orang munafik di zaman baginda Rasul.
“Ulasan saya, mencipta persepsi adalah perangai munafik zaman Nabi yang mencipta persepi terhadap Aisyah (r.ah), isteri Nabi (saw) kononnya berzina hingga ada umat Islam terpengaruh lalu menuduh secara terbuka Aisyah berzina sehingga turun beberapa ayat dalam surah al-Nuur.
“Adakah persepsi-persepsi yang cuba dibina oleh Presiden PAS terhadap Kerajaan Perpaduan meniru perlakuan munafik zaman Nabi?,” Soalnya.
Khairuddin turut menggesa Majlis Syura Ulamak PAS supaya menegur tindakan perbuatan presiden PAS itu yang jelas bertentangan dengan akhlak Islam.-
|