CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8002|Reply: 0

Tiga proses bersih hati kotor

[Copy link]
Post time 15-12-2023 05:14 PM | Show all posts |Read mode
Tiga proses bersih hati kotor

KITA memerlukan semangat kuat untuk membersihkan hati daripada segala kekotoran oleh nafsu dan hasutan syaitan yang merosakkan kerana bukan senang melawan godaan yang menjurus kepada perkara melalaikan.

Sentiasa berusaha mencari kebaikan dalam hidup, menyucikan jiwa dengan melakukan amal ibadah yang diredai Allah SWT. Usaha membina hati yang bersih memerlukan kita bercakap perkara baik, banyak berzikir, membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT.

Ahli psikologi menganjurkan kepada mereka yang mahukan perkara baik dan positif mengelak daripada bercakap perkara yang buruk, mengumpat serta iri hati. Dalam bahasa psikologi menyebut sifat negatif akan meresap tenaga kebaikan yang ada dalam diri seseorang.


Program Islam Itu Indah di KIMfm bersama Ustaz Pahrol Muhammad Juoi membicarakan mengenai kepentingan memiliki hati yang bersih kerana umat Islam akan bertemu Allah SWT di akhirat. Justeru, mereka perlu bersiap sedia dengan semua amalan baik.


Seperti mana kita membersihkan diri daripada segala kekotoran lahiriah, menyucikan diri dengan mengangkat hadas, mengambil wuduk sebelum menunaikan solat, begitu juga hati perlu disucikan sebelum dipersembahkan kepada Allah SWT apabila tiba waktunya.

Perumpamaan seorang yang mahu menanam pokok bunga di halaman rumah, perlu membersihkannya terlebih dahulu sebelum ditanam dengan pokok kesukaan. Sebelum hati ditanam dengan perkara baik, hendaklah dibuang terlebih dahulu kekotoran pada hati supaya sifat baik mudah mekar subur dalam hati.

"Kita tidak akan menanam pokok di kawasan penuh dengan lalang dan pohon-pohon yang akan merosakkan tanaman serta menjadikan tanaman tidak subur," katanya.

Tiga proses bersih hati

Tambahnya, dalam kaedah tasauf terdapat tiga proses perlu dilalui untuk membersihkan hati iaitu takhalli, tahalli dan tajalli. Takhalli ialah usaha membuang segala sifat mazmumah dalam diri, kemudian tahalli iaitu berusaha menanam sifat mahmudah.

Manakala tajalli pula ialah mengekalkan kebaikan dalam diri dan buah daripada kebaikan yang telah tertanam. Namun jika kita gagal membersihkan hati atau membiarkan hati kotor, sukar untuk menjalani tiga proses itu.

Nabi Muhammad SAW sebelum melalui peristiwa Israk dan Mikraj dibedah hatinya buat kali kedua walaupun sudah 12 tahun diangkat menjadi Rasul. Baginda tetap dibedah untuk membersihkan hatinya daripada sebarang kekotoran.

Selepas hati Baginda SAW diisi dengan iman, ilmu dan hikmah, barulah dibawa menaiki burak menuju ke langit.

Pengalaman itu sewajarnya menjadi iktibar kepada umat Islam untuk sentiasa memelihara hati kerana dengan jiwa yang bersih, barulah semua perkara baik dapat dihasilkan.

Andai diri masih terbelenggu dengan hasutan syaitan serta pujukan hawa nafsu, proses pembersihan hati sukar dilakukan. Memiliki ilmu juga penting kerana dengan ilmu yang ada, usaha ke arah memperbaiki diri dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Sumber:https://www.bharian.com.my/kolum ... s-bersih-hati-kotor


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 05:34 AM GMT+8 , Processed in 0.287691 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list