Edited by JoyahMengayah at 30-12-2023 05:33 AM
PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di sebalik apa yang dikatakan siasatan badan anti-rasuah itu terhadap beliau dan keluarganya.
Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai suatu “pemburuan”.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki minggu lepas dilapor berkata SPRM menyiasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang, susulan sitaan sebuah bangunan baru-baru ini.
Anwar sebelum itu dilapor berkata siasatan itu menunjukkan SPRM menjalankan tugas tanpa mengira kedudukan.
Daim dalam kenyataan yang dilapor Astro Awani hari ini mendakwa beliau tidak dimaklumkan tentang kesalahan yang didakwa dilakukannya, selepas ditanya beberapa kali secara bertulis.
Beliau juga mendakwa ada “usaha terancang” untuk memburuk-burukkan dirinya, dengan mengeluarkan maklumat salah dan “sindiran yang tidak berasas”.
“Saya menafikan sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa juga bentuk, oleh saya atau keluarga saya. Siasatan ini tidak lain merupakan suatu pemburuan politik terhadap kami,” katanya.
Daim berkata beliau tidak boleh terima Azam membuat komen secara terbuka ketika siasatan sedang berjalan, yang beliau sifatkan sebagai tidak profesional.
“Saya tidak boleh jawab atau pertahan diri sendiri kerana tak diberitahu apakah kesalahan-kesalahannya,” katanya.
Beliau juga mendakwa Anwar melihatnya sebagai ancaman politik, apabila berkata “dia rahsia umum. Seorang yang menggondol kekayaan begitu besar” pada 22 Dis.
“Ini menunjukkan kebenciannya terhadap saya,” katanya.
Daim menggesa Anwar dan Azam menghormati kedaulatan undang-undang, proses wajar, dan bertindak secara sewajarnya, sambil menekankan kepentingan menegakkan ikrar jawatan masing-masing.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/12/28/daim-bidas-anwar-sprm-di-sebalik-siasatan-rasuah/
|