Edited by JoyahMengayah at 4-1-2024 03:49 AM
KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan menyasarkan seramai 10 juta pelancong domestik dan luar negara berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor, berkata, jumlah itu mampu dicapai menerusi lebih pelbagai program yang sudah dirancang dan disusun sepanjang tahun ini.
“Kita boleh membuat pelbagai angka (sasaran ), namun yang lebih realistik adalah 10 juta pengunjung termasuk domestik dan luar negara.
“Sasaran itu mampu dicapai sekiranya tiada halangan seperti wabak penyakit atau perkara-perkara lain yang boleh membantu industri pelancongan negeri,”katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Warisan Ulama Nusantara Pasir Tumboh, di sini hari ini.
Kamarudin memberitahu, kerajaan negeri sedang merangka pertemuan dengan pemain industri pelancongan bagi melihat perancangan untuk jangka masa panjang.
Katanya, kajian lebih mendalam perlu dilakukan termasuk melihat kepada faktor setempat seperti sektor pelancongan di Thailand yang kini semakin mendapat sambutan.
“Di Thailand misalnya, pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan di sana seperti hotel, restoran selain tempat pelancongan mengambil pendekatan jangka panjang dan tidak mengambil keuntungan segera.
“Hal ini baik untuk industri pelancongan dalam jangka masa panjang dan untuk itu kita perlu membuat kajian yang lebih teliti berkaitan perkara tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
|