Edited by JoyahMengayah at 11-1-2024 02:49 AM
KOTA BHARU: Rakyat negeri ini mengambil kesempatan pengagihan dividen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang disifatkan tertinggi dalam sejarah dengan membeli emas sebagai aset.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan premis kedai emas dipenuhi oleh orang ramai yang mengambil kesempatan berbuat demikian walaupun harganya sekitar RM289 untuk satu gram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia seorang pelanggan Zakiah Abdullah, 45, berkata, walaupun harga emas agak tinggi ketika ini namun dia tidak menyesal menggunakan dividen ASNB berbuat demikian.
“Bagi saya ini adalah satu daripada pelaburan jangka panjang yang sangat baik dan berbaloi. Jika terdesak, saya boleh jual semula untuk mendapatkan wang,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MZ Gold Sdn. Bhd, Murtadhatumizi Mustapha mengakui kebanyakan pelanggan memberitahu mereka menggunakan dividen ASNB untuk membeli emas.
Katanya, pelanggan menjadikan rantai tangan, rantai, gelang dan cincin sebagai pilihan utama.
“Melihat kepada situasi semasa, saya jangka harga emas akan terus naik selepas ini. Jadi inilah masa terbaik untuk membuat pembelian emas bagi dijadikan sebagai aset,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja Kedai Emas Noris di Pasar Siti Khadijah, Nor Syazwani Ismail, 39, berkata, jualan emas di premisnya tidak terjejas dan pelanggan sentiasa datang membeli barangan kemas meskipun ketika harga emas melonjak naik.
“Secara puratanya, harga emas sentiasa naik dan harganya hanya turun tidak lebih dari RM10 segram, seperti semalam harga emas adalah RM291 segram dan hari ini turun kepada RM289.
“Walaupun harga emas naik atau turun, pelanggan sentiasa ada datang kerana kalau harga emas turun, ia hanya turun sedikit sahaja sebelum naik semula,” katanya.
|