|
Kuala Lumpur : Pelakon Fattah Amin mengakui semakin jarang keluar melepak dengan rakan-rakan sejak mendirikan rumah tangga, mempunyai anak dan bergelar suami serta bapa.
Fattah bagaimanapun berharap rakan-rakan memahami statusnya dan tidak terasa hati biarpun dia jarang dapat meluangkan masa bersama-sama mereka.
"Memang tidak dinafikan sejak ada Fatima, saya memang jarang keluar dengan kawan-kawan lelaki kecuali bila betul-betul perlu. Maksudnya kalau ada mesyuarat ke, barulah saya keluar.
"Saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama dengan keluarga. Tapi, memang ada juga rakan-rakan yang menghantar mesej bertanya, namun saya balas saja pertanyaan mereka.
"Apa yang penting, kepada kawan-kawan saya mohon jangan terasa biarpun lama tidak berhubung. InsyaAllah nanti adalah rezeki, mungkin raya boleh datang ke rumah," katanya
Dalam pada itu, Fattah berkongsi sekiranya ada kesempatan dia gemar bermain 'game', namun perlu mengambil kira pelbagai aspek.
"Saya juga suka bermain 'game', jadi apabila hendak ada masa untuk diri sendiri itulah yang sering dilakukan. Apapun, bergantung kepada keadaan jika anak ke rumah sepupu atau sibuk dengan aktivitinya, barulah saya bermain 'game'.
"Cuma tidak boleh hendak 'me time' sangat kerana sudah berkeluarga kan? 'Me time' saya adalah bila saya dapat main 'game'," kata Fattah.
Terdahulu, Fattah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Nur Fazura pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya kini berusia empat tahun.
|
|