CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5581|Reply: 0

[Tempatan] 'Sudah 6 hari tiada air, inikah kenangan pelancong pada Tahun Melawat Perak 2024?'

[Copy link]
Post time 14-2-2024 11:55 AM | Show all posts |Read mode
Edited by EJALTI at 14-2-2024 03:58 AM

'Sudah 6 hari tiada air, inikah kenangan pelancong pada Tahun Melawat Perak 2024?'

https://www.bharian.com.my/berit ... -pada-tahun-melawat

Muhamad Lokman Khairi - Februari 14, 2024 @ 9:08am
[email protected]


Pengusaha hotel, Syafiq Rozman menunjukkan kolam renang yang semakin surut kerana disalur masuk ke tangki bagi kegunaan pengunjung di hotelnya di Kampung Teluk Dalam, Pulau Pangkor. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

LUMUT: Penduduk, pengusaha hotel dan pelancong di Teluk Nipah dan Teluk Dalam, Pulau Pangkor, terkesan teruk akibat gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlarutan sejak 8 Februari lalu.

Penduduk Kampung Teluk Dalam, Zainal Abidin Ismail, 54, berkata mereka sudah lali dengan masalah tekanan air rendah pada setiap kali musim cuti sekolah, bagaimanapun situasi kali ini amat meruncing kerana langsung tiada air selama enam hari berturut-turut.

Menurutnya, penduduk di Teluk Dalam dan Teluk Nipah kini hanya bergantung kepada bantuan lori tangki air daripada Lembaga Air Perak (LAP) namun tidak mencukupi.

"Kami dimaklumkan terdapat empat lori tangki setiap hari, tapi kadang-kadang cuma satu saja.

"Malam tadi saya tunggu hingga jam 3 pagi tapi langsung tiada. Jam 12 tengah hari tadi baru sampai.

"Situasi ini memang menyukarkan penduduk yang hendak mandi, membasuh baju, berwuduk dan minum.

"Tambahan lagi, kami perlu bersaing dengan pengusaha hotel atau resort yang kita faham perlu juga menjaga pelanggan," katanya ditemui di Kampung Teluk Dalam, semalam.


Penduduk Zainal Abidin menunjukkan simpanan air yang diperoleh daripada lori tangki air LAP pada hari keenam ketiadaan air di kawasan Teluk Dalam, Pulau Pangkor. - Foto NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Zainal Abidin yang bekerja sebagai nelayan berkata, dia terpaksa berhabis wang membeli air mineral di kedai untuk kegunaan memasak di rumah.

Pengusaha hotel rugi besar kerana gangguan air

Pengusaha hotel, Syafiq Rozman, 38, berkata dia menanggung kerugian RM50,000 sepanjang enam hari berturut-turut ketiadaan air termasuk kos pengoperasian serta membayar pampasan kepada pelanggan yang sudah menempah bilik sebelum ini, namun terpaksa dibatal.

"Sumber ekonomi majoriti penduduk di pulau ini adalah pelancongan, jadi sepatutnya tempoh cuti persekolahan dan perayaan ini menjadi peluang mencari rezeki lebih terutamanya penjaja, pemandu teksi dan pengusaha sukan air.

"Pulau Pangkor adalah pusat pelancongan tetapi kita tak boleh terima dan terpaksa nasihatkan pelancong membatalkan percutian kerana gangguan bekalan air tiada notis.

"Ini sememangnya menjejaskan periuk nasi majoriti penduduk," katanya.

Pengusaha inap desa, Suhaimi Omar, 46, pula menyangkal kenyataan LAP bahawa kononnya pengusaha hotel dan inap desa tidak menyediakan tangki simpanan air yang mencukupi.

"Satu tangki air cuma bertahan 48 jam saja. Hari ini pula sudah masuk hari keenam tiada air. Bagaimana hendak kata kami tidak bersedia?

"Ini ke kenangan yang kita nak tinggalkan untuk pelancong pada Tahun Melawat Perak 2024 ini?" katanya.

Suhaimi berkata, situasi itu turut mewujudkan persengketaan kecil antara penduduk dengan pengusaha hotel dan inap desa yang masing-masing memerlukan bekalan air untuk beroperasi.

Pelancong, Zayani Atiqah Noraini, 32, berkata dia yang datang bersama lima ahli keluarga sejak Ahad lalu terkejut apabila percutian pertama mereka di pulau peranginan ini bertukar pengalaman yang kurang memuaskan.

"Kami buka paip langsung tiada air, memang menjejaskan aktiviti percutian. Kami terpaksa mandi di pantai semata-mata.

"Saya harap isu air ini boleh diselesaikan pada masa akan datang untuk keselesaan pengunjung," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lumut, Komander (B) Nordin Ahmad Ismail berkata, beliau akan memohon kepada LAP untuk menambah bilangan lori tangki air bagi menampung keperluan penduduk di kawasan terjejas sehingga masalah terbabit selesai.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-10-2024 08:14 PM GMT+8 , Processed in 0.066209 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list