View: 5367|Reply: 0
|
Sikh Izhan teruja 'balik kampung'
[Copy link]
|
|
SIKH Izhan Nazrel Sikh Azman beraksi untuk Penang FC (PFC) secara pinjaman selama semusim. FOTO ihsan PFC
Georgetown: Penjaga gol muda kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menyifatkan tawaran menyarung jersi skuad Harimau Kumbang sebagai penghormatan besar buat dirinya selaku anak jati Pulau Mutiara.
Pemain berusia 21 tahun itu optimis menjadikan 2024 antara tahun terbaiknya sekali gus menambah coretan rekod cemerlangnya selepas memutuskan untuk menerima lamaran Penang FC (PFC) secara pinjaman selama semusim.
Berikutan itu, dia melahirkan keyakinan terhadap Ketua Jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan barisan kejurulatihan dalam mempersiapkan pasukan dalam mengharungi cabaran Liga Super yang dijadual bermula Mei ini.
"Syukur Alhamdulillah dapat balik dan bermain untuk negeri asal, saya rasa satu penghormatan yang besar dan saya rasa tahun ini akan menjadi satu daripada tahun terbaik saya.
"Tak sangka sebenarnya akan kembali ke negeri sendiri, jadi dapat tawaran pun selepas Piala Asia dan Selangor FC juga sudah beri lampu hijau untuk saya pergi. Saya pun fikir tentang minit permainan dan rasa ini yang terbaik untuk saya.
"InsyaAllah jurulatih Akmal dan barisan staf kejurulatihan sudah melakukan persediaan dan menyusun perancangan untuk pasukan dengan baik," katanya ketika ditemui selepas pelancaran jersi pra musim PFC di Kopa Arena, semalam.
Menurut Sikh, keutamaannya ketika ini adalah mendapat tempat dalam barisan kesebelasan utama dan belum mengetahui sama ada akan beraksi sebagai penjaga gol utama atau tidak.
Dia sebelum ini dipinjamkan daripada Selangor FC kepada Negeri Sembilan FC dan berjaya membantu skuad Hobin Jang Hobin menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan.
"Jadi saya akan fokus pada latihan dan buat persiapan untuk masa depan, saya jangka akan terima panggilan nasional untuk skuad bawah 23 tahun pada Mac atau April jadi sedikit sebanyak, bila saya ke sini saya akan bermain," katanya.
Sikh turut berpandangan PFC bakal menjadi satu pasukan yang membariskan ramai ubi muda secara purata pada musim kali ini dan menyifatkan kelompok pemain berbakat yang diketengahkan mampu memberi kejutan, khusus buat penyokong di negeri itu.
"Jika pemain berbakat ini mampu melakukan segala-galanya di tengah padang InsyaAllah musim ini akan memberi kejutan jadi kami harap semua peminat akan terus menyokong pada saat kami kalah, seri atau menang," ujarnya.
Sebagai rekod, Sikh turut menjadi sebahagian skuad remaja kebangsaan yang memenangi Piala Iber 2015 di Sepanyol dan Piala SuperMokh pada 2016.
Pemain itu turut pernah dicalonkan sebagai 'Goalkeeper of the Tournament' dalam kejohanan Piala Elit 2016 di Perancis dan kemudiannya menyertai pasukan Selangor II pada 26 Februari 2020 sebelum membuat penampilan sulung bersama skuad utama negeri itu pada usia 19 tahun.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... eruja-balik-kampung |
|
|
|
|
|
|
| |
|