Anggota bomba sedang mengambil butiran seorang penduduk dengan berlatarbelakangkan bumbung beberapa buah rumah yang tercabut dalam kejadian petang semalam.
MIRI: Angin kencang yang melanda sekitar Taman Happy Timur, Riam di sini petang Isnin telah mengakibatkan bumbung 10 buah rumah di kawasan perumahan itu tercabut dan berterbangan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Ismaidi Ismail berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 2.46 petang.
Bertindak atas panggilan diterima katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng telah bergerak ke lokasi untuk melakukan pemantauan di kawasan terjejas yang terletak pada jarak 12 kilometer dari balai.
"Fenomena 'kepala angin' yang melanda sekitar Taman Happy Timur, Riam petang Isnin telah menjejaskan sebanyak 10 buah rumah di kawasan perumahan itu.
"Kebanyakan bumbung rumah yang terjejas berterbangan di atas jalan dan halaman rumah di sekitar kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang semalam.
Bagaimanapun menurut Ismaidi, tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian itu.
Setelah kerja-kerja pemantauan dilakukan dan memastikan semua keadaan selamat, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai.
|