CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 659|Reply: 0

[Sarawak] MCW 2024: Sarawak sasar teknologi terkini untuk muncul sebagai kuasa ekonomi digital

[Copy link]
Post time 27-2-2024 11:02 PM | Show all posts |Read mode


JULAIHI

Daripada S. Ratcharathan

BARCELONA: Kerajaan Sarawak berharap dapat memanfaatkan kemajuan teknologi terkini yang diketengahkan di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2024, seiring dengan persediaan negeri itu untuk muncul sebagai kuasa ekonomi digital utama di rantau ini sepertimana digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Datuk Seri Julaihi Narawi berkata kemajuan teknologi terkini itu dapat membantu mewujudkan ekonomi digital dinamik yang memerlukan asas digital yang kukuh, termasuk infrastruktur digital, bakat atau tenaga kerja, inovasi dan keselamatan siber.

“Sudah semestinya kehadiran di MWC 2024 ini menjadi antara usaha kita bagi meningkatkan serta sentiasa memastikan kita peka dengan perkembangan dan teknologi terkini dipaparkan di sini,” katanya kepada pemberita pada sesi meja bulat media di luar acara MWC 2024 di sini, pada Isnin.

Mengulas selanjutnya, Julaihi berkata kemajuan teknologi ini akan turut membantu Sarawak mengembangkan liputan serta menyediakan aspek kesalinghubungan, terutama bagi masyarakat di luar bandar.

Bagi kawasan yang sukar dihubungi, beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan kemudahan peranti terminal komunikasi kecil (VSAT) di 773 tapak sebagai penyelesaian sementara bagi akses Internet kepada masyarakat yang tidak mempunyai kemudahan itu.

Julaihi berkata sebanyak 1,472 menara telah diwujudkan di serata Sarawak menerusi inisiatif Sarawak Menghubungkan Bandar, Pedalaman dan Negara (SALURAN) dan Pelan Digital Negara (JENDELA).

Selain itu, katanya, liputan 4G di Sarawak pula di tahap 66 peratus dan djangka mencecah 93 peratus apabila pembangunan menara itu siap menjelang akhir tahun ini.

Malah, sebagai salah satu negeri pertama melancarkan rangkaian 5G, Sarawak pada masa ini mempunyai 514 tapak yang telah beroperasi manakala 585 tapak pula disasarkan beroperasi menjelang 2024 dengan kadar liputan 64.8 peratus, katanya.

Beliau berkata sejajar dengan ciri landskap yang luas, Sarawak dianggarkan memerlukan 7,000 struktur telekomunikasi untuk mencapai 99.9 peratus penembusan Internet di seluruh negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Julaihi berkata Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama erat dengan kerajaan negeri Sarawak dalam menyediakan infrastruktur dan penyelesaian digital.

Ini termasuk projek utama Sarawak Network and Cloud, Pelan Induk Bandar Pintar Kuching dan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) untuk memperluas rangkaian dan kesalinghubungan 4G di seluruh negeri dan Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART).

Terdahulu, Julaihi merasmikan Pavilion Sarawak dan seterusnya melawat Pavilion Malaysia bersama delegasi beliau di MWC 2024, perhimpunan tahunan terbesar bagi industri telekomunikasi yang dihoskan oleh Groupe Speciale Mobile Association (GSMA). - BERNAMA



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 03:00 PM GMT+8 , Processed in 0.053356 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list