|
NUR Azmi (tiga dari kiri) dan Devan (kanan ) ketika majlis menandatangani kontrak pemain Melaka FC di Ayer Keroh, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Melaka: Bekas jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan dilantik membimbing skuad Melaka FC bagi saingan Liga M3, musim Ini.
Pemilik Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pengalaman luas Devan menjadi taruhan kepada pasukan terbabit bagi memenuhi sasaran ke Liga Super musim depan.
Katanya, resipi terbaik bakal disusun pengendali terbabit untuk memastikan persembahan cemerlang sepanjang saingan amat mencabar, musim ini.
"Kami menyenaraikan sembilan pemain yang pernah beraksi di Liga Super, sekali gus mampu memberi nilai tambah buat Melaka FC.
"Sehubungan itu, latihan giat disusun menjelang aksi pembukaan liga dijangka pada penghujung April depan," katanya.
Nur Azmi berkata, pihaknya sentiasa memastikan kebajikan pemain diambil perhatian termasuk bonus kemenangan akan diberikan kepada pemain.
Beliau berkata, seramai 18 pemain menandatangani kontrak selama setahun, hari ini, manakala baki tujuh pemain lagi akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Sementara Itu, Devan berkata, pengalamannya membimbing banyak pasukan termasuk Penang, Selangor, PJ City, Johor FC, Felda United dan Kelantan akan digunakan sebaik mungkin, kali Ini.
Menurutnya dia memilih Melaka FC kerana misi skuad terbabit untuk bersaing di Liga Super dan berharap kehadirannya mampu membantu memenuhi misi terbabit.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... n-bimbing-melaka-fc |
|