CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5144|Reply: 0

[Dunia] Malaysia masih ada kelebihan berbanding negara jiran, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul

[Copy link]
Post time 11-3-2024 04:31 PM | Show all posts |Read mode
Malaysia masih ada kelebihan berbanding negara jiran

https://www.bharian.com.my/berit ... anding-negara-jiran

Oleh Najmuddin Najib - Mac 11, 2024 @ 3:17pm
bhnews@bh.com.my


Tengku Zafrul menjelaskan Malaysia masih menjadi pilihan kepada pelabur.

BERLIN: Biarpun Malaysia hilang kelebihan kepada negara jiran termasuk Thailand, Indonesia dan Vietnam yang memiliki tenaga buruh murah, itu bukan isyarat industrinya sudah terjejas.

Sebaliknya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia masih mempunyai kelebihan tersendiri berbanding beberapa negara serantaunya.

Bercakap kepada media Malaysia di sini, sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman, Tengku Zafrul berkata, ASEAN secara keseluruhannya sudah memperoleh manfaat yang besar.

Ketika ditanya sama ada Malaysia menghadapi cabaran daripada negara ASEAN lain dari segi mendapatkan pelaburan utama luar negara, termasuk Eropah, Tengku Zafrul tidak menafikannya.

Beliau mengakui jiran ASEAN seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia kini menawarkan apa yang Malaysia lakukan sebelum ini, seperti tenaga buruh murah.

Bagaimanapun, beliau percaya Malaysia masih menjadi pilihan kepada pelabur.

"Ya, kami bersaing di rantau ini. Berita baiknya ialah ASEAN sebagai rantau sudah mendapat manfaat daripada pengalihan aliran, terutamanya aliran pelaburan memandangkan penjajaran semula rantaian bekalan.

"Jika kita melihat FDI (Pelaburan Langsung Asing) global sejajar dengan kelembapan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) global, FDI global turun 12 peratus sementara FDI ke ASEAN naik lima peratus.

"Oleh itu, ASEAN sebenarnya menyaksikan pertumbuhan pesat dan sudah tentu, Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya sebagai satu negara ASEAN. Namun pada masa sama, kami bersaing," katanya.

Tengku Zafrul bagaimanapun tidak percaya situasi itu 'zero-sum game'.

"Biarpun katakan Vietnam atau Singapura memperoleh pelaburan, akan ada limpahan kepada Malaysia jika kita mempunyai ekosistem yang sesuai untuk menyokongnya.

"Sebagai contoh, kita sudah melihat kemajuan pusat data yang menyokong AI (kecerdasan buatan), disebabkan Singapura, kesan limpahannya juga dirasai di Malaysia.

"Begitu juga, apabila kita bercakap tentang ekosistem EV (kenderaan elektrik), kita mempunyai sektor E&E (produk elektrik dan elektronik) sangat kukuh di Malaysia yang berusia lebih 50 tahun. Kami juga mempunyai bahagian pasaran global kukuh, iaitu bahagian E&E dalam semikonduktor terutamanya dalam ujian dan pemasangan, lebih 12 atau 13 peratus dari pasaran global," katanya.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia masih memegang tiga kelebihan daya saingnya tersendiri.

Pertama, kata beliau, ialah ekosistem kukuh dalam sektor tertentu seperti E&E, yang membantu meyakinkan syarikat untuk melabur ke Malaysia.

Kedua, katanya, bakat dimiliki syarikat di Malaysia, termasuk multinasional, sudah dibina sejak sekain lama.

Ketiga pula, katanya, keupayaan Malaysia dalam ekonomi hijau dan ekonomi digital, sektor utama yang diharap mampu memacu pertumbuhan dan kesan limpahan kepada rakyat dan syarikat Malaysia.

"Di sinilah kita mempunyai sumber semula jadi yang kukuh. Kami mempunyai tanah dan dasar yang betul serta insentif yang kekal konsisten selama ini," katanya.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul menyatakan Malaysia perlu sedar jurang semakin mengecil dan Malaysia akan bersaing dengan negara lain yang mempunyai kelebihan sama pada masa hadapan.

Tengku Zafrul antara delegasi menteri yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi enam harinya ke Jerman.

Selain program di Berlin dan Hamburg untuk menemui pelabur Jerman, Tengku Zafrul juga mengunjungi Munich untuk membincangkan potensi peluang perniagaan dengan gergasi automotif, BMW serta pengeluar pesawat Airbus.

Jerman sudah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak 2000, sementara Malaysia juga rakan dagang terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45b (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87b (AS$13.62 bilion) pada 2022.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

9-5-2024 02:34 PM GMT+8 , Processed in 0.358148 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list